Di kampung lain suasananya dan punya laman.

Assalamualaikum pembaca semua. Mula-mula Che Pah menghulur jari sepuluh nemohon maaf kerana sudah agak lama tidak menurunkan tinta dalam ruangan Che Pah ini.

Ini disebabkan ada beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Syukur Alhamdulillah kini Che Pah akan berkongsi semula kisah suka dan duka serta pengalaman hidup Che Pah kembali sambil disulam situasi semasa.

Banyak yang sudah kita sama sama lalui sejak dari PKP 1.0 tahun lalu. Semua kita sudah rasa. Duduk di rumah, tidak boleh rentas negeri dan daerah, pakai pelitup mulut, kena imbas suhu setiap kali mengunjungi kedai dan pasaraya.

Alhamdulillah semua Che Pah lihat patuh dengan arahan pihak kerajaan. Che Pah bangga dengan rakyat Malaysia yang rata-rata menurut kata.

Namun ada jugalah sebilangan kecil yang digelar golongan awam yang buat keras kepala. Tak kurang golongan kata berada yang digelar golongan kayangan yang membuat onar.

Golongan kaya ternama ini yang buat orang lain marah dan melabel kerajaan sebagai double standard.

Bak kata orang Muar, mereka yang sebegini suka membakar darah orang lain dibuatnya. Seperkara Che Pah hendak ingatkan  golongan kayangan yang sebegini, anda bukan sahaja mencetuskan kemarahan awam bahkan sebaliknya menunjukkan kebodohan diri sendiri.

Sudah sudahlah dengan perangai yang sebegini. Berlaku adillah kepada semua. Jangan hidup dengan tak sudah sudah menimbulkan dosa kepada orang lain.

Tahun ini pun nampaknya kita tak dapat beraya. Sudah dua tahun kita beraya sendiri di rumah. Tanpa boleh berziarah.

Bagi Che Pah, beraya sendirian sudah jadi perkara biasa. Sejak Walid meninggal dunia lebih lapan tahun yang lalu, Che Pah beraya sendirian di Muar.

Namun bagi yang masih punya ibu dan bapa, Che Pah tidak nafikan, pasti terasa sedih. Maklum, bila memikirkan ibu dan bersendirian di kampung halaman.

Entah sampai bila keadaan ini akan berpanjangan begini, kita tak mampu untuk menelahnya. Semuanya takdir yang telah tertulis oleh Yang Maha Kuasa.

Jika kita nak marahkan kerajaan sekali pun Perdana Menteri, rasanya kurang adil juga. Bagi Che Pah kita perlu sedar bahawa hakikatnya Perdana Menteri dan pihak yang memegang kuasa melaksanakanperaturan itu juga manusia biasa. Mereka hamba Allah juga macam kita.

Mereka juga tertakluk pada qadha dan qadar Allah Yang Maha Esa. Allah jua yang telah menetapkan segala ya berlaku. Mana mungkin sesuatu itu terjadi dengan sendirinya.

Jadi kita hendak marahkan siapa? Lebih elok kita fikir semasaknya. Jika kita marah, maka secara tidak sedar kita marahkan Allah Yang Maha Kuasa.

Redhakan saja. Insy-Allah keadaan seumpama ini akan berlalu jua. Awan yang gelap takkan selamanya menutup langit. Selepas hujan turun, ia akan beredar pergi. Diganti langit cerah menceriakan suasana.

Che Pah rasa beruntung kerana dalam keadaan segetir begini Che Pah ditakdirkan Allah berada di kampung.

Di kampung lain suasananya. Punya laman. Boleh juga bercucuk tanam. Che Pah serikan halaman dengan pokok bunga.

Setiap hari Che Pah siram. Che Pah bercakap dengan pokok. Che Pah pijak bumi berkaki ayam. Che Pah rasakan kerasnya tanah dan lembutnya rumput menyapa tapak kaki.

Ini semua terapi yang baik untuk diri. Terutama dalam keadaan pandemik seperti sekarang ini. Kita perlu cari sesuatu yang menceriakan hati.

Namun adakah benar benda sekeliling ini perkara utama untuk mencari bahagia dihati? . Apa akan jadi jika semua ini tiada. Contoh bagi mereka yang tinggal di rumah pangsa. Tiada halaman sebagai terapi. Apa akan jadi? Haruskah rungsing terus meraja dihati?

Bahagia itu sebenarnya ada dalam diri. Kita harus cari. Kita selongkar berlian berharga dalam diri kita ini. Bahagia bukan letaknya di luar, sebaliknya kemas tersimpan di dalam diri kita.

Kita yang bertanggungjawab untuk mencari. Galilah. Selongkarlah. Kemudian apabila jumpa, gilaplah ia.

Insy-Aallah apabila sudah jumpa, kita akan terus rasa bahagia walau ada teman atau tiada, walau punya rumah kecil atau besar, walau duit bertimbun mahupun cukup sekadar sepinggan nasi di meja.

Jadi buat semua, Che Pah akan terus menulis selagi diberi daya dah ilham oleh Allah. Che Pah akan tintakan cerita yang boleh membawa awak semua dari stress dan kerumitan

Itu niat Che Pah. Che Pah mahu awak semua terhibur dengan celoteh Che Pah. Che Pah mahu sesiapa yang membaca rasa tenang dan teeus tersenyum ceria. – MalaysiaGazette

Che Pah merupakan merupakan bekas pengarang majalah popular.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast