Laluan LRT KLCC yang beroperasi seperti biasa dengan menggunakan satu laluan susulan kemalangan dua LRT dari arah Gombak dan Kelana Jaya di Stesen LRT KLCC, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dijangka kembali beroperasi seperti biasa lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata ia selepas serpihan di kawasan kemalangan dua tren iaitu antara stesen KLCC dan Kampung Baru dibersihkan serta mendapat kelulusan operasi oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Saya dimaklumkan bahawa kerja pembersihan giat dijalankan. Mengikut status kerja terkini, dua tren yang terbabit dalam pelanggaran akan ditarik balik ke Depoh LRT Kelana Jaya untuk pembaikan tengah malam ini selepas tamat perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya hari ini.

“Sejurus itu, Prasarana akan segera membuat ujian perjalanan dengan tren yang lain (tanpa penumpang) pada tengah malam (ketika tiada perkhidmatan LRT) bagi memastikan semua laluan selamat digunakan khususnya di kawasan kemalangan itu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Wee berkata kesemua 58 buah tren dijangka beroperasi semula secepat mungkin sekali gus dapat mengelakkan kesesakan dan kepadatan penumpang.

Beliau berkata apabila landasan di tempat kejadian dipulihkan kepada dua landasan, fenomena cerutan di tempat kejadian yang berlaku pada waktu kemuncak pagi semalam dapat diselesaikan dan kelicinan perkhidmatan LRT akan ditingkatkan.

Selain itu, beliau berkata hasil tinjauan di Pusat Kawalan Operasi (OCC) mendapati ia beroperasi dengan baik terutama dari segi sistem semboyan dan komunikasi selain sentiasa mengutamakan aspek keselamatan penumpang.

“Sekali lagi saya memohon pengguna tren supaya bersabar sedikit masa lagi sebelum keadaan kembali normal,” katanya.

Semalam, Wee dalam sidang media berkata kerja-kerja membaik pulih kerosakan termasuk pembersihan landasan dan serpihan kemalangan LRT akan dilakukan dalam tempoh tiga hari mulai semalam (25 Mei) untuk mengelakkan gangguan operasi.

Dalam kejadian 8.45 malam Isnin lepas, seramai 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast