Fotofit lelaki yang sedang dikesan oleh polis.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang cuba menyerang seorang wanita di tempat letak kereta dalam bangunan komersial di Kota Damansara, pagi Isnin lalu.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, mangsa dalam laporannya mendakwa ketika kejadian dia berada di luar kereta telah ditolak dari belakang oleh seorang lelaki menyebabkan mangsa jatuh terlentang di dalam kereta.

Supek bertindak menindih badan mangsa sambil meraba tubuh dan cuba membuka baju wanita berkenaan.

Wanita itu meronta dan menjerit menyebabkan suspek menumbuk mukanya.

Mangsa kemudian menekan hon berkali-kali hingga suspek melarikan diri,

Mohamad Fakhruddin berkata, akibat kejadian itu mangsa mengalami bengkak dan lebam pada muka.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan akibat mendatangkan kecederaan pada mangsa.

Katanya, sebelum kejadian mangsa telah berselisih dengan suspek semasa sedang berjalan kaki ke keretanya.

Lelaki itu disyaki berbangsa Melayu atau Sabah, dalam lingkungan 25 tahun dengan ketinggian lebih kurang 165 sentimeter.

Badannya kurus dan tatu penuh di tangan kanan.

Orang ramai diminta bantu mengesan lelaki berkenaan berdasarkan diskripsi tersebut.

Mereka yang ada maklumat diminta menghubungi Inspektor Chew Yong Hoa di talian 014-3929 448. – MalaysiaGazette