ROM – Tiga orang ditahan susulan nahas kereta kabel yang menyebabkan empat orang meninggal dunia.
Penyiasat berkata, siasatan medapati brek kecemasan telah dimatikan dan ketiga-tiga kakitangan syarikat operasi itu sedar mengenainya.
Menurut seorang pegawai pengangkutan tempatan, kegagalan brek itu menyebabkan kereta bergerak lebih dari 100 kilometer sejam ketika kabelnya pecah jatuh.
Kereta itu terjunam sejauh 20 meter (65 kaki) ke sisi Gunung Mottarone berhampiran Tasik Maggiore di utara Itali.
Pendakwa sedang menjalankan siasatan terhadap pembunuhan dan kecuaian yang disyaki atas kejadian tersebut.
Ketiga-tiga suspek telah dikenal pasti sebagai pemilik, pengarah dan ketua operasi syarikat yang menguruskan kereta kabel.
“Ketiga-tiga tahanan telah mengetahui tentang kegagalan sistem brek kecemasan selama berminggu-minggu,” kata agensi berita Efe yang memetik kenyataan Olimpia Bossi, seorang pendakwa.
Seorang pegawai memberitahu saluran TV Itali, Rai 3, suspek-suspek mengaku telah mematikan brek kecemasan berikutan “kerosakan dalam kereta kabel”, yang tidak dapat diperbaiki oleh pekerja pembaikan.
Lima keluarga menaiki kereta kabel itu ketika ia terjunam, termasuk dua kanak-kanak yang meninggal dunia.
Pada hari Selasa, seorang pegawai kesihatan Itali memaklumkan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kemalangan itu, Eitan Biran, lima tahun dari Israel, telah tersedar dari koma namun masih dalam keadaan kritikal
Menurut laporan, Eitan dilindungi daripada impak jatuh oleh bapanya yang maut bersama keluarganya yang lain. – MalaysiaGazette