KUALA LUMPUR – Tindakan pelakon Zarina Anjoulie berkongsi video ketika dia sedang melakukan rawatan kecantikan untuk menyedut lemak (liposuction) di sebuah klinik di Kuala Lumpur telah memakan dirinya.
Ini kerana ibu tunggal itu telah mengundang kecaman netizen apabila dia didakwa merentas negeri tanpa sebarang urusan penting.
Mempertahankan dirinya selepas dihentam pengikutnya dalam Instagram, Zarina menjelaskan apa yang dia lakukan itu (rawatan kecantikan) adalah atas tuntutan kerja.
“Tolong faham aku hari-hari kerja dekat KL, kadang-kadang aku tak balik sebab esoknya kena siang (kerja). Aku duduk Nilai (Negeri Sembilan) jauh nak balik.
“Surat kebenaran aku dah mohon dekat Balai Polis Nilai. Kalau sesiapa yang tidak puas hati, menggeletis boleh telefon terus ke balai polis untuk bertanya. Aku kerja bukan jalan-jalan cari karpet!” tulisnya dalam Instagram.
Zarina menegaskan apa yang dilakukannya itu adalah atas urusan kerja semata-mata walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan ketika ini
“Bila orang bebel kata aku pergi KL tak ada kepentingan, itulah cara aku cari duit dengan buat review (ulasan produk). Kau ingat semua duit sumbangan yang aku buat selama ini datang dari mana? Daripada ulasan produk!
“Bukan laki (suami) kau yang tanggung aku kalau aku tak kerja. Kerja aku sekarang ini buat ulasan tentang rawatan lipo (liposuction) dan dapat gaji. Sila hadam,” tegasnya.
Dalam hantaran lain, pelakon drama Anak Pontianak itu turut berkongsi video ketika dia melakukan proses menyedut lemak di beberapa bahagian anggota badannya di sebuah klinik kecantikan. – MalaysiaGazette