Polis mengenakan kompaun seorang pelajar sekolah ingkar peraturan PUI di Jalan Permatang Damar Laut, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Tindakan seorang pelajar keluar rumah dalam tempoh kuarantin membawa padah selepas dia dikompaun polis dalam kejadian di Jalan Permatang Damar Laut di sini hari ini.

Pelajar tingkatan empat itu ditahan sepasukan polis pukul 2.50 pagi selepas melihatnya menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA. Anbalagan berkata, hasil siasatan mendapati remaja yang masih bersekolah itu dalam perjalanan ke rumah rakannya.

“Lelaki berusia 16 tahun itu mengaku tinggal di rumah rakannya dan hasil pemeriksaan mendapati gelang kuarantin berwarna merah jambu miliknya dipotong serta disimpan dalam beg sandang.

Gelang kuarantin berwarna merah jambu dijumpai dalam beg sandang dibawanya.

“Pihak polis telah keluarkan notis kompaun berjumlah RM5,000 ke atas lelaki itu susulan didapati ingkar arahan Subseksyen 22(b) Akta 343 iaitu individu di bawah pesakit bawah siasatan (PUI) enggan menjalankan kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu tular di media sosial Facebook beberapa keping gambar remaja berkenaan sedang diperiksa anggota polis. – MalaysiaGazette