Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berfasa berfikutan penularan Covid-19 telah memberikan impak terhadap kesihatan mental.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sejak kebelakangan ini, isu-isu kesihatan mental mula mendapat perhatian pelbagai pihak dan agensi.

“Kementerian Kesihatan mengambil maklum bahawa sejak negara mengadakan PKP yang berfasa, senario kesihatan mental negara melihat kepada peningkatan impak permasalahan kesihatan mental yang turut dipengaruhi oleh pandemik Covid-19 seiring dengan laporan-laporan di media massa,” katanya pada sidang media yang dibuat secara maya, hari ini.

Menurut Adham, beliau berpeluang mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental (MPPKM) yang bersidang buat kali pertama pada tahun ini pada 25 Mei lalu.

Katanya, majlis itu terdiri daripada ahli-ahli yang dilantik dalam kalangan pakar-pakar dalam bidang kesihatan awam, pakar-pakar psikiatri dan juga wakil-wakil agensi kerajaan, universiti dan wakil-wakil NGO yang mempunyai kepakaran dalam bidang kesihatan mental serta terlibat secara langung dalam advokasi kesihatan mental.

“Ahli-ahli majlis bertindak memberikan pandangan teknikal di dalam hala tuju dan pelaksanaan aktiviti Program Kesihatan Mental selari dengan Dasar Kesihatan Mental Negara.

“Di dalam mesyuarat tersebut pelbagai perkara telah dibincangkan bagi memperkukuhkan strategi pelaksanaan bagi menangani isu permasalahan kesihatan mental masyarakat,” ujarnya.

Justeru mesyuarat yang diadakan telah bersetuju yang antara lainnya mahu mempertingkatkan Latihan Bantuan Asas Psikologi kepada petugas barisan hadapan dan anggota agensi lain serta memberi peruntukan kepada NGO yang melaksanakan aktiviti.

Turut dibuat adalah melaksanakan konsep ‘task shifting’ iaitu pemerkasaan masyarakat dengan memberi latihan dan kemahiran kepada individu-individu di luar lingkungan KKM seperti ‘persons with lived experience’ (orang yang mempunyai pengalaman hidup) untuk menyampaikan advokasi dan sokongan serta intervensi psikososial kepada masyarakat.

Tidak setakat itu malah, turut dilakukan adalah meningkatkan penglibatan ‘local religious leaders’ (pemimpin agama tempatan) di dalam advokasi kesihatan mental.

Dalam pada itu, Adham memberitahu, mesyuarat berkenaan turut bersetuju dengan cadangan pelaksanaan Kempen Let’s TALK Minda Sihat sepanjang tahun ini yang akan memfokuskan kepada aspek mempromosikan dan meningkatkan pengetahuan masyarakat terhadap kesejahteraan mental dan fizikal berlandaskan kepada strategi komunikasi bersepadu, mesej yang kreatif dan pemasaran mesej secara inklusif.

Pelaksanaan kempen itu, jelasnya, akan merentas agensi dan selari dengan strategi di dalam Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental 2020-2025 bagi memperkukuh promosi kesihatan mental, pencegahan penyakit mental dalam meningkatkan literasi kesihatan mental masyarakat. – MalaysiaGazette