Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Eksport Malaysia kekal memberangsangkan apabila melonjak 63 peratus tahun ke tahun kepada RM105.6 bilion pada April 2021 berbanding kenaikan 31.1 peratus pada Mac 2021.

Manakala import pada April 2021 bernilai RM85.1 bilion, meningkat 24.4 peratus tahun ke tahun.

Dengan itu, lebihan dagangan dicatatkan sebanyak RM20.5 bilion, meneruskan trend pemulihan daripada kesan wabak Covid-19.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, Peningkatan ini disumbangkan oleh eksport domestik dan eksport semula.

Eksport domestik berjumlah RM85.0 bilion yang menyumbang 80.5 peratus kepada jumlah eksport, meningkat ketara 84.0 peratus. Sementara itu, eksport semula bernilai RM20.6 bilion, meningkat 11.0 peratus.

Jumlah dagangan Malaysia pada April 2021 melonjak 43.2 peratus, mencecah RM190.8 bilion berbanding April 2020.

Selaras dengan pertumbuhan perdagangan, 222 daripada 255 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Bagi import, 209 daripada 259 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif.

Peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Amerika Syarikat (+RM6.8 bilion), Singapura (+RM5.5 bilion), Kesatuan Eropah (+RM4.1 bilion), China (+RM3.4 bilion) dan India (+RM2.7 bilion).

Sementara itu, import yang lebih tinggi direkodkan terutamanya dari China (+RM6.0 bilion), Singapura (+RM4.0 bilion), Jepun (+RM2.3 bilion), Indonesia (+ RM1.8 bilion) dan Thailand (+ RM1.6 bilion).

Pertumbuhan eksport juga didorong oleh barangan elektrik dan elektronik (+RM11.2 bilion); keluaran getah(+RM5.1 bilion); keluaran petroleum (+RM4.6 bilion); barangan perkilangan logam (+RM3.0 bilion); jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM2.8 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasakan minyak kelapa sawit (+RM2.5 bilion) dan barangan optik dan saintifik (+1.9 bilion).

Kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM5.8 bilion); keluaran petroleum (+RM4.3 bilion); kimia dan bahan kimia (+RM2.0 bilion); petroleum mentah (+RM1.4 bilion); barangan perkilangan logam (+RM1.3 bilion) dan barangan besi dan keluli (+RM1.0 bilion). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast