Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bercakap sesuatu dengan penumpang semasa membuat lawatan ke Pusat Krisis di Stesen Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) KLCC, kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 28 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya mula beroperasi sepenuhnya di kedua-dua landasan yang terbabit dalam kemalangan Isnin lalu, bermula 3.45 petang ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia susulan kejayaan Rapid Rail menyiapkan kerja-kerja pembaikan sehingga 4.30 pagi tadi dan menjalani pemeriksaan ketat daripada Agensi Pengangkutan Awan Darat (APAD).

“Kemalangan Isnin menyebabkan kita terpaksa menggunakan satu landasan dan selepas ini perkhidmatan LRT untuk laluan Kelana Jaya akan pulih sepenuhnya.

“Bermaksud ianya boleh bergerak dan beroperasi seperti sebelum ini secara normal.

“Sebagai Menteri Pengangkutan, saya rasa terpanggil untuk bersama orang awam khususnya waktu puncak petang bagi memastikan kedua-dua landasan (berfungsi sepenuhnya),” katanya pada sidang media di Stesen LRT KLCC, Avenue K, hari ini.

Menurut Ka Siong, kerja-kerja pembaikan landasan telah berjalan dengan lancar bermula jam 11.30 malam semalam dan pegawai APAD turut melakukan pemeriksaan selepas Rapid Rail selesai membuat kerja-kerja pembaikan sehingga jam 3.08 pagi tadi.

“Ini adalah protokol iaitu kita kena pastikan bahawa aspek keselamatan ini dapat kita semak, diperiksa dan selamat digunakan, barulah kita buka.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan malam tadi dan bermula tugas pada 12.15 tengah malam sehingga 4 30 petang hari ini,” katanya.

Ka Siong turut memberi jaminan bahawa perkhidmatan LRT di kedua-dua landasan itu selamat digunakan orang ramai setelah beberapa ujian keselamatan dijalankan sehingga 4.30 pagi tadi.

“Sebab itu saya berada di sini bersama Ketua Pengarah APAD, inilah agensi pusat yang menjadi mengawal selia pengangkutan awam darat.

“Proses ini perlu melalui proses pematuhan yang agak ketat dan semalam kita buat pengujian roll over train pada jam 3.08 pagi.

“Pembaikan pengesan kebakaran untuk mengesan kebakaran apabila berlaku kebakaran di dalam terowong dan itu pun telah dipasang dengan jarak 28.5 meter,” katanya. – MalaysiaGazette