KUALA LUMPUR – Seramai lapan individu dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 seorang kerana menghadiri majlis hari jadi sebuah pejabat di kawasan Pusat Dagangan NZX, Ara Damansara, Selangor semalam manakala penganjurnya dikenakan kompaun sebanyak RM25,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, bertindak atas aduan awam berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepasukan petugas pemantau PKP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah membuat pemeriksaan mengejut di pejabat tersebut pada jam 2.50 petang.

“Dalam pemeriksaan tersebut pasukan pematuhan PKP IPD Petaling Jaya mendapati terdapat majlis sambutan hari lahir telah diadakan di dalam sebuah bilik dan di dalamnya terdapat sembilan individu iaitu lima perempuan  dan empat lelaki lingkungan umur 23 tahun sehingga 45 tahun yang merupakan warganegara tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati majlis sambutan hari lahir tersebut merupakan aktiviti yang terlarang sebagaimana di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021. – MalaysiaGazette