Dr. Izhar Ariff

KUALA LUMPUR – Konflik penindasan umat Islam Palestin oleh rejim zionis Isreal berpunca dari beberapa faktor, kata Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Antaranya, kata beliau, faktor Palestin tidak mendapat sokongan dan dokongan dari rakan taulan dan negara sekeliling terutama negara Islam, negara Teluk dan negara Arab yang mengambil sikap berkecuali daripada campur tangan dengan konflik itu.

Faktor kedua, katanya, kewujudan dua kumpulan yang tidak membantu satu sama lain dalam memerdekakan tanah Palestin dari cengkaman Israel iaitu Hamas dan Fatah.

“Palestin perlu perbaiki dari dalam negara itu sendiri, terutama cukuplah ada dua team ini (Hamas dan Fatah). Sudahlah mereka lemah, ada dua team pula. Dalam keadaan konflik sekarang ini kenapa perlu ada dua team ini, cukup satu sahaja.

“Walaupun kedua-duanya ada sejarah, ada pro dan kontra, tetapi dalam keadaan genting sekarang ini, serangan Isreal adalah rakyat yang tidak berdosa. Bukan golongan dewasa, kanak-kanak pun terkorban.

“Serangan bom Israel ini kena khusus orang Fatah atau Hamas, yang terbunuh adalah orang awam,” katanya dalam bual bicara bertajuk: Konflik Israel – Palestin, suatu tinjauan menerusi Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pagi ini.

Menurut Dr. Mohd Izhar Ariff, kenapa Palestin tidak mahu memperbaiki dari dalam, sedangkan Nabi Muhammad sendiri tidak malu untuk membaiki dari dalaman segala kelemahan yang berlaku.

Beliau memberi contoh, apabila berlaku Perang Uhud, Nabi Muhammad tidak malu untuk menggunakan pelan B dan C dalam peperangan lain, selepas menjadikan Perang Uhud sebagai pengajaran.

“Palestin pun sepatutnya tidak merasa malu untuk mengakui kelemahan dan memperbaikinya dari dalam, bukan terus bertelagah sesama sendiri sehingga diambil kesempatan oleh Israel untuk menyerang negara itu.

“Pada saya, konflik ini akan terus berlaku, selagi mana Palestin tidak menjadikan faktor itu sebagai pengajaran dan kekal berada dalam takuk lama,” katanya.

Beliau turut memuji rakyat Malaysia terutama NGO yang berdaftar kerana tidak putus-putus menghulurkan bantuan dan sumbangan bagi membantu rakyat Palestin.

Katanya, banyak tabung sumbangan disediakan dan rakyat Malaysia ringan tangan menderma.

Menjawab pertanyaan netizen, Dr. Mohd Izhar Ariff berkata, Israel ada dua jenis iaitu zionis dan yahudi.

Menurut beliau, rejim zionis adalah yang ganas, suka membunuh dan berkasar dengan umat Islam Palestin, manakala Yahudi adalah agama dan mereka ini baik dengan orang Islam, malah tidak bersetuju dengan apa yang zionis lakukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sila tanya Hamas dan Fatah adakah mereka tahu tanah rizab Melayu hanya tinggal 12% termasuk tanah Melayu tergadai di Singapore dan Penang kepada majority kaum asing dari Tanah Besar Cina dan India.

Comments are closed.