Peniaga Online, Wahida Wahid, 39 ditemu ramah mengenai Sekatan Pergerakan Penuh fasa 1 pada 1 Jun hingga 14 Jun 2021 ketika di Jalan Tar, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 31 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh selama dua minggu bermula esok hanya akan berkesan membantu mengurangkan kes positif harian Covid-19 sekiranya rakyat memberikan kerjasama terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Rata-rata warga kota yang ditemui MalaysiaGazette menyatakan kini terpulang kepada orang ramai untuk mencapat matlamat tersebut.

Menurut peniaga dalam talian, Wahida Wahid, 39 SOP keputusan kerajaan untuk membenarkan sektor tertentu yang penting beroperasi dalam tempoh PKP Penuh sudah tentu mempunyai sebab yang munasabah.

Justeru ia tidak perlu lagi dipertikai, apatah lagi selepas kerajaan sudah mempunyai pengalaman mengurus Covid-19 dalam tempoh setahun ini.

“Macam yang kita tahu, kerajaan sudah ada rutin pelaksanaan tahun ini, jadi kita jangka ia memang tidak seperti PKP 1.0 sebab kerajaan mesti sudah tahu apa nak buat, sudah bersedia untuk semua.

“Jadi untuk industri tertentu yang dibenarkan ada sebab kerajaan buat begitu. Saya sebagai peniaga saya okay sahaja dengan SOP yang diumum.

“Macam peniaga-peniaga kecil kenapa boleh buka, kita kena faham peniaga kecil harus cari makan macam mana.

“Kerajaan sudah tahu kenapa dan tuntutan rakyat. Kita kena ikut sahajalah,” katanya.

Begitu juga dengan kelonggaran yang ditarik balik khususnya Pasangan Jarak Jauh (PJJ).

Jelas Wahida, larangan itu sudah tentu berdasarkan salah guna yang berlaku.

“Sebab PJJ (Pasangan Jarak Jauh) tidak dibenarkan mungkin ada isunya sebab ada juga yang bawa balik orang lain dalam kenderaan jadi kita kena maklum kepada semua ini,” tambahnya.

Namun Wahida berkata, sekiranya kes tidak berjaya dikurangkan ia bukan kelemahan daripada kerajaan, sebaliknya adalah berpunca daripada sikap rakyat Malaysia sendiri yang tidak lagi memandang SOP penularan Covid-19 sebagai perkara yang perlu dipatuhi.

Sehubungan itu beliau berkata, sama ada kes Covid-19 akan berjaya diturunkan selama dua minggu ini bermula esok, ia bergantung kepada rakyat.

“Jujur cakap, orang kita sendiri yang tidak dengar kata, tidak patuh SOP saya sendiri peniaga bila ambil barang dari pemborong bila saya datang tengok ada yang anak, bawa bayi keluar. Saya sendiri ada anak bayi saya tidak bawa keluar.

“Kita kena ikut betul-betul SOP seperti ditetapkan kerajaan kehendak had keluar rumah pun kena patuh. Kalau kita dengar kata, kes tidak meningkat, keluar atas keperluan penting,” ujarnya.

Jururawat, Siti Nurzulaikha ditemu ramah mengenai Sekatan Pergerakan Penuh fasa 1 pada 1 Jun hingga 14 Jun 2021 ketika di Jalan Tar, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 31 MEI 2021.

Jururawat, yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Nurzulaikha turut sependapat dengan Wahida.

Bagi beliau, PKP Penuh tujuannya sememangnya jelas untuk mengurangkan kes.

Dengan garis panduan yang telah diumumkan kerajaan semalam, ia dapat memberi penjelasan kepada rakyat tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan selama dua minggu ini, untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani wabak yang sedang menular hebat dalam komuniti kita.

Justeru jelasnya, masyarakat memainkan peranan penting kali ini.

“Bagi saya PKP Penuh memang baik, kita nak kurangkan kes. Sekarang kedai makan boleh makan. Kalau pusat beli belah boleh buka semasa PKP orang tetap akan pergi juga, baguslah SOP kali ini.

“Kalau masyarakat ikut SOP betul-betul baru boleh ada kesan, semua atas diri sendiri,” jelasnya.

Pekerja Swasta, Kogilavani, 40 ditemu ramah mengenai Sekatan Pergerakan Penuh fasa 1 pada 1 Jun hingga 14 Jun 2021 ketika di Jalan Tar, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 31 MEI 2021.

Sementara itu, lain pula pandangan yang diutarakan oleh seorang pekerja swata berusia 40 tahun ini.

Menurut Kogilavani SOP PKP 1.0 pada Mac tahun lalu lebih baik daripada yang akan dilaksanakan bermula 1 Jun ini.

Katanya ini kerana, pada tahun lalu, PKP dilaksanakan dengan ketat dan penguatkuasaan dan kawalan yang penuh.

Namun tidak kali ini apabila beliau berpendirian pembukaan sektor tertentu yang didakwanya berlaku kelompongan dan kelonggaran.

“Pandangan saya, PKP 1.0 pada Mac tahun lalu lebih bagus, tidak ada boleh keluar, semua kena duduk di rumah.

“Sekarang ini pun masih ada yang masih boleh keluar, macam saya di pejabat sehingga hari ini masih ramai yang bekerja. Tidak ada pengurangan lagi, belum ada perubahan pun,” katanya.

Namun begitu, beliau berkata, setidak-tidaknya kerjasama rakyat terhadap PKP Penuh kali ini diharapnya aan dapat memberi kesan menurunkan kes.

“Semua orang kena patuh kalau mahu kes menurun. Kalau individu sendiri bertanggungjawab, tidak keluar bolehlah turun. Sebab sebelum ini cecah 9,000 sehari selepas itu turun kepada lebih 6,000 mungkin keajaiban boleh berlaku,” ujarnya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua sektor perkilangan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh (total lockdown) fasa pertama selama 14 hari bermula Selasa ini.

Bagaimanapun, kelonggaran diberikan kepada 12 jenis sektor perkilangan.

Sektor itu ialah aero angkasa (komponen dan penyelenggaraan, baik pulih dan overhaul), makanan dan minuman, bahan pembungkusan dan percetakan berkaitan bahan makanan dan kesihatan.

Ismail berkata, sektor perkilangan lain yang dibenarkan berkaitan barang-barang penjagaan diri dan bahan pencuci dan keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast