Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Luar menyokong usaha Persatuan Bulan Sabit Merah (MRCS) dalam melaksanakan kempen ‘Humanitarian Aid Fundraising’ bagi membantu rakyat Palestin.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, buat masa ini, sumbangan yang diperlukan adalah dalam bentuk kewangan dan MRCS menyasarkan kutipan dana berjumlah sekurang-kurangnya RM1 juta sehingga akhir bulan ini.

“Kempen yang dilaksanakan bertujuan mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak yang akan digunakan bagi menyediakan bantuan kebajikan dan kecemasan kepada rakyat Palestin ketika ini.

“MRCS juga telah bersetuju untuk bertanggungjawab mengumpul sumbangan dana kewangan daripada individu-individu yang ingin menyumbang.

“Untuk perhatian umum, dana yang dikumpul oleh MRCS ini akan disalurkan ke dalam Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di bawah seliaan MOFA yang mana ia kemudiannya akan diserahkan terus kepada Palestinian Red Crescent Society (PRCS),” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis pelancaran kempen Humanitarian Aid Fundraising From Malaysia, For Palestin yang berlangsung secara atas talian hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Kebangsaan MRCS, YM Tunku Puteri Intan Safinaz, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar serta Presiden PRCS, Dr. Younis Al-Khatib.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta serta badan kerajaan amat dialu-alukan untuk turut menyalurkan sumbangan terus ke dalam AAKRP sebaik sahaja kempen kutipan dana yang digerakkan sendiri selesai.

“Ini bukan wajib tetapi MOFA sedia membantu mana-mana pihak yang berhasrat menyumbang dan mahukan kepastian bahawa sumbangan tersebut akan sampai ke tangan rakyat Palestin.

“Dengan rangkaian yang telah diwujudkan dengan negara-negara tertentu, agensi serta pihak-pihak berkaitan sekurang-kurangnya kita dapat pastikan bahawa apa jua bantuan atau sumbangan daripada orang ramai akan sampai kepada mereka yang betul-betul memerlukan,” ujarnya.

Katanya, mengenai pendirian Malaysia dalam isu Palestin, ia tidak berganjak kerana negara sentiasa memberikan sokongan padu kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka dalam mencapai kebebasan mutlak daripada penjajahan haram Israel. – MalaysiaGazette