Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai digesa untuk turut serta dalam sesi rundingan awam bagi menghasilkan definisi Batik Malaysia yang jelas serta mudah difahami.

Sesi rundingan yang dijalankan secara digital melalui portal Unified Public Consultation (UPC) https://upc.mpc.gov.my dengan kerjasama antara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berkata, perundingan awam ini bermula pada 13 April 2021 dan akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021 di bawah tajuk Definisi Batik Malaysia.

”Perundingan awam berkenaan definisi batik ini dilaksana bagi mendapatkan persetujuan bersama daripada kalangan masyarakat, persatuan kraftangan, pihak berkepentingan dan pemain industri kraf tekstil batik negara. MPC memohon kerjasama dan maklum balas daripada agensi-agensi dan pakar-pakar yang arif tentang kraf dan tekstil batik untuk turut serta dan mengambil bahagian dalam perundingan awam ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) berkata, penetapan definisi rasmi Batik Malaysia ini menjadi garis panduan dan rujukan utama kepada pihak berkuasa dan berkepentingan bagi tujuan pengklasifikasian produk tekstil Batik Malaysia, pengawalan dan perlindungan.

Dalam masa yang sama, sebaran maklumat mengenai Batik Malaysia akan lebih konsisten dan secara tidak langsung meningkatkan kesedaran serta kefahaman masyarakat terhadap ciri-ciri tekstil buatan Malaysia ini.

Kraftangan Malaysia telah mengadakan tujuh siri perbincangan untuk mewujudkan satu definisi yang ringkas dan padat bagi menjelaskan ciri-ciri Batik Malaysia. Siri perbincangan ini bermula pada 11 September 2019 dan telah berakhir pada 8 September 2020.

Susulan daripada siri perbincangan tersebut dan kerjasama bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), inisiatif ini diteruskan dengan usaha mendapatkan maklum balas daripada masyarakat umum, melalui portal Unified Public Consultation (UPC) https://upc.mpc.gov.my. (Kata Kunci Konsultasi – Batik Malaysia, dan klik “Definisi Batik Malaysia”). – MalaysiaGazette