Datuk Saifuddin Abdullah Undi 18 GE15 General Election voters vote
Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Pengalaman diserang virus Covid-19 dikongsi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini.

Beliau berkata, sepanjang 16 hari di Hospital Sungai Buloh, dirinya pernah dalam keadaan kritikal di mana kadar oksigen dalam badan rendah dan dimasukkan dalam wad pemerhatian untuk tindakan lanjut.

“Satu pagi, paling tidak boleh dilupakan apabila tahap oksigen saya rendah, 70 peratus sahaja. Memang sesak nafas, masa itu waktu kritikal dan nasib baik seorang jururawat duduk di sebelah saya dan ajar cara bernafas dengan betul, ada penafasan hollow, pernafasan penuh dan half intake.

“Masa itu saya tahu ada pelbagai peringkat pernafasan untuk pesakit Covid-19 dan ketika itu kadar oksigen saya naik kalau tidak saya pasti akan dimasukkan dalam unit rawatan rapi,” kongsinya kepada media sempena penyerahan secara maya surat tawaran Dana Kandungan Digital Muzik (DKD Muzik) 2021 kepada 960 penggiat seni bagi program Hiburan Dari Rumah (HDR) di sini hari ini.

Penghujung April lalu, Saifuddin disahkan positif Covid-19 dan menjalani tempoh rawatan di Hospital Sungai Buloh sebelum dibenarkan keluar wad pada hari kedua Aidilfitri lalu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, kesan disebabkan virus Covid-19 masih dirasai beliau sehingga hari ini.

Antaranya cepat penat kerana kesan daripada jangkitan pandemik itu di bahagian paru-paru.

“Kebanyakan Covid-19 survivor dia cepat penat, saya pun ada sikit rasa cepat penat. Paru-paru saya menerima kesan daripada Covid-19 dan saya akan menjalani penilaian semula kesihatan pada Jumaat nanti.

“Jadi kita kena makan ubat yang diberikan hospital, lain orang lain cara rawatannya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada perokok agar berhenti dan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan sentiasa menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) setiap masa.

“Sesiapa yang merokok elok hentikan dan jaga SOP, itu satu benda sangat mustahak. Jaga sistem imunisasi kerana Covid-19 adalah benar, kita tidak tahu bila kita akan dijangkiti virus itu, jalan terbaik adalah untuk mendapatkan vaksinasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette