Penembusan Terowong Dungun bagi projek ECRL berjaya dilakukan lebih awal enam bulan.

KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatatkan satu lagi sejarah dengan penembusan Terowong Dungun di Terengganu yang merangkumi 871 meter panjang, enam bulan lebih awal daripada jadual asal pada suku kedua tahun 2022.

Letupan terakhir di Terowong Dungun pada 29 Mei 2021 menembusi halangan yang terletak 12 meter dari pintu masuk terowong.

Pencapaian di Terowong Dungun adalah hasil usaha kira-kira 641,520 jam masa bekerja dengan pelaksanaan kaedah gerudi dan letup terowong menembusi batu luluhawa sederhana.

Kerja-kerja penggalian bagi Terowong Dungun telah mencapai tahap kemajuan 97.4 peratus sebelum aktiviti penembusan dilakukan, sementara lapisan kekal terowong telah mencapai kemajuan memberangsangkan iaitu 702 meter panjang.

Dengan ketinggian 11.8 meter dan kelebaran 12.9 meter, Terowong Dungun dibina untuk mengelak penebangan terbuka dan memelihara hutan simpan apabila melintasi kawasan Kuala Dungun.

Pencapaian ini menjadi lebih bermakna apabila Terowong Dungun pernah menjadi tapak pelancaran semula projek ECRL pada 25 Julai 2019, tambahan pula, penembusan Terowong Dungun dilakukan kurang dari dua bulan selepas penembusan Terowong Paka yang pertama pada 9 April 2021 sepanjang 1.1 km.

Negeri Terengganu akan mempunyai lima buah terowong ECRL apabila projek siap kelak. – MalaysiaGazette