Gambar hiasan

AKHIRNYA kerajaan telah pun mengumumkan pelaksanaan total lockdown yang bakal
berlangsung sepanjang 1-14 Jun ini. Pengumuman ini dikatakan selari dengan
perkembangan peningkatan kes harian Covid-19 yang telah pun berada pada tahap
membimbangkan.

Sehingga artikel ini ditulis, kes harian dalam negara telah pun mencapai lebih
daripada 9,000. Meneliti seketika beberapa kiriman di pelbagai platform media sosial, boleh dikatakan ramai yang mengkritik pihak yang mencadangkan bahawa kerajaan yang ada sekarang ini ialah kerajaan yang gagal.

Mereka berhujah kembali bahawa rakyat juga tidak kurang pentingnya dalam
menyumbang terhadap krisis peningkatan kes harian. Rakyat ini katanya tidak
menjaga SOP dan tidak tahu duduk diam di rumah. Sesuatu yang perlu difahami apabila berlakunya krisis besar-besaran yang melibatkan rakyat seluruh negara, lazimnya masalah itu tidak berpunca hanya kerana sifat individu atau sekumpulan komuniti kecil secara rawak.

Lazimnya apabila suatu krisis nasional berlaku, ia berpunca daripada suatu lompong
atau kelemahan yang ada pada sistem atau dasar yang dilaksanakan oleh pihak
berkuasa atau kerajaan yang memerintah. Kita boleh melihat masalah krisis peningkatan Covid-19 ini berpunca daripada kelemahan pelaksanaan dasar kerajaan berdasarkan beberapa aspek.

Pertama, terdapat kelemahan yang nyata dalam ketegasan pelaksanaan SOP ketika
pilihan raya negeri Sabah tempoh hari. Kelemahan ini merupakan antara bibit-bibit
terawal yang menjurus kepada yang berlaku hari ini. Pelaksanaan pilihan raya sebagai suatu hak rakyat bagi memilih wakil rakyat yang bakal memerintah mereka merupakan suatu yang mungkin bersifat kontroversi.

Namun ketika krisis inilah rakyat seharusnya diberi lebih pilihan untuk memilih wakil
yang mereka percayai untuk mengemudi kepercayaan mereka. Sesuatu yang sepatutnya berlaku ialah pelaksanaan SOP dan peraturan yang ketat untuk melaksanakan pilihan raya tersebut. Ketika tempoh berkempen lagi pun satu negara telah digemparkan dengan
kewujudan kluster kes yang meningkatkan bilangan kes harian secara mendadak.

Tetapi ahli politik Semenanjung masih lagi bebas berkempen di sana tanpa keperluan
yang mendesak. Bukan sahaja dibenarkan terbang ke sana, mereka malah tidak diaturkan melalui sistem yang teratur agar mereka mematuhi kuarantin mandatori. Maka selepas pulang mereka langsung ke sana ke mari memberi ceramah dan ucapan,
meningkatkan lagi penyebaran virus tersebut.

Kelemahan kedua yang kita dapat perhatikan ialah kerajaan masa ini melengah-
lengahkan sidang parlimen sehinggalah proklamasi darurat yang menyukarkan lagi
parlimen untuk bersidang. Masalah ini menjadi salah satu punca utama kelemahan dasar-dasar seterusnya berlaku.

Apabila parlimen tidak bersidang, maka usul-usul penting seperti usul rangsangan
ekonomi mahupun usul berkenaan kawalan penyakit berjangkit ini tidak dapat
dibahaskan oleh pembuat dasar. Maka, pelaksanaan dasar menjadi kurang utuh. Malah lebih parah lagi, perbahasan mengenai apa yang dilakukan kerajaan tidak berlangsung, menyebabkan kurangnya berlaku semak dan imbang dalam pelaksanaan polisi nasional.

Kelemahan dalam sistem semakan dan imbangan pelaksanaan dasar kerajaan ini
menyebabkan kerajaan lebih cenderung berasa masih dalam kawalan kerana
ketiadaan pihak berlawanan untuk mengkritik pelaksanaan dasar tersebut; sama ada
berhasil atau hanya ‘syok sendiri.’ Kelemahan seterusnya yang dapat kita amati ialah kelemahan pelaksanaan undang-undang yang jelas memberi kelebihan kepada pihak elitis.

Kita tidak perlu lihat banyak kes. Cukuplah kita kaji satu kes sahaja. Kes beli
permaidani di sebuah bandar. Sudah jelas dia bukan dari negeri itu, tapi dia lepas
juga ke negeri itu dan dengan yakinnya lagi memuat naik gambar peribadinya ke
media sosial. Tapi apa hasil siasatan pula? Akhirnya dia tidak didakwa melakukan kesalahan merentas negeri.

Prinsip Islam dalam pelaksanaan undang-undang yang sepatutnya ialah setiap yang
melakukan pelanggaran undang-undang sepatutnya mendapat hukuman yang
setimpal tanpa prejudis terhadap status sosioekonomi. Tapi mengapa wujudnya parti yang memperjuang Islam dalam gabungan kerajaan ini tidak mampu memastikan keutuhan prinsip Islam dalam amalan undang-undang yang jelas rapuh kesaksamaannya?

Masalah keempat dan yang terakhir dalam perbincangan masalah kelemahan
pelaksanaan dasar kerajaan ini sudah tentunya ialah pelaksanaan perintah kawalan
pergerakan (PKP) itu sendiri. Setelah kes telah mencanak naik, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP sekali lagi di beberapa buah negeri. Namun pelaksanaan PKP ini acuh tidak acuh, tidak sama seperti PKP 1.0 dahulu.

Masih ramai yang bebas bergerak. Banyak sektor ekonomi masih lagi boleh
beroperasi. Kereta di jalan raya juga banyak hingga sesak seperti tiada PKP.
Sememangnya diakui ada benarnya bahawa pertimbangan untuk tidak menutup
kebanyakan sektor ekonomi seperti PKP 1.0 ialah bahayanya pada ekonomi negara.
Namun jika kita tidak melakukan PKP yang tegas, adakah kerajaan telah terbukti
melakukan usaha lain yang terbaik bagi memastikan sistem kesihatan awam tidak
lumpuh?

Korea Selatan contohnya, tidak melakukan kawalan pergerakan setegas PKP 1.0
Malaysia. Namun mereka dengan tangkas melaksanakan mantra ‘trace and test’ atau
jejak dan uji individu untuk Covid-19. Setinggi manakah kapasiti Malaysia pada hari ini untuk melaksanakan pengesanan kes secara aktif dan bukan pasif semata-mata?
Hal ini penting kerana kes positif tanpa simptom dalam komuniti sememangnya diakui
wujud. Bahayanya ialah apabila mereka sudah pun menunjukkan simptom atau mereka menjangkiti golongan berisiko tinggi seperti golongan tua dan yang mempunyai penyakit kronik.

Pendek kata, kerajaan mahu buat PKP atau tidak sebenarnya? Kalau tak mahu buat
PKP betul-betul, apa tindakan ampuh lain yang mahu dilaksanakan? Penutupan kebanyakan sektor ekonomi yang bakal dilaksanakan dalam total lockdown ini mungkin menjawab soalan tersebut. Namun apa yang ingin dinyatakan di sini ialah, mengatakan rakyat juga menanggung kesalahan dengan pemberat yang sama dengan kerajaan ialah suatu yang sama ada tidak adil dan  prejudis. Jika tidak pun, tidak lain tidak bukan pendapat itu sangatlah naif.

Oleh sebab itu, seruan mengkritik pelaksanaan dasar kerajaan tidak seharusnya
semata-mata dilihat sebagai seruan untuk membebaskan diri sendiri daripada
kesalahan. Kritikan terhadap kerajaan yang gagal melaksanakan dasar bagi membendung
masalah ini secara ampuh seharusnya dilihat sebagai suatu bentuk semak dan
imbang yang sihat agar kerajaan tidak terlalu selesa bekerja tanpa memikirkan sama
ada dasar tersebut berkesan atau tidak. Lagipun, yalah, parlimen pun tidak boleh bersidang juga. Takkan nak biar mereka ‘syok sendiri’ kemudian laungkan “Rakyat pun salah!” sahaja?

Wan Salman Wan Sallam
Aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia
Bandar Tun Razak