Pihak polis mengeluarkan kompaun terhadap seorang pegawai bank (kanan) di Lebuh Pantai di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Tidak tahu wajib muat turun aplikasi MySejahtera dalam telefon pintar.

Itu alasan seorang pegawai bank di Lebuh Pantai, di sini, apabila dia gagal menunjukkan bukti telah mengimbas kod QR MySejahtera kepada pihak polis.

Ketidakpatuhan lelaki itu terbongkar selepas sepasukan polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Timur Laut yang diketuai Asisten Superintendan Yaakob Md Taib melakukan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tempat kerja bermula jam 12 tengah hari tadi.

MalaysiaGazette difahamkan, lelaki berusia 38 tahun itu turut mendakwa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu dia hanya menggunakan aplikasi kod QR pada telefon bimbit iPhone untuk mengimbas semua pergerakannya.

Antara bank yang diperiksa polis sekitar Lebuh Pantai hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya kesal masih wujud segelintir masyarakat yang gagal mematuhi SOP walaupun pandemik Covid-19 sudah lebih setahun membelenggu negara.

“Lebih mengejutkan pemeriksaan kali ini, pegawai bank sendiri tidak tahu setiap individu mandatori muat turun aplikasi MySejahtera bagi memudahkan Kementerian Kesihatan mengesan kontak bagi membendung penularan Covid-19.

“Dalam operasi di institusi kewangan itu kita mengeluarkan kompaun berjumlah RM1,500 terhadap pegawai bank tersebut kerana gagal mengimbas MySejahtera (kod QR),” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Soffian.

Dalam perkembangan sama, Soffian memberitahu, secara keseluruhan sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan dalam operasi tersebut membabitkan beberapa institusi kewangan serta pejabat swasta sekitar daerah Timur Laut.

“Enam individu dikompaun kerana tidak imbas kod QR MySejahtera manakala satu lagi kompaun berjumlah RM10,000 dikenakan terhadap sebuah syarikat pengangkutan kerana tidak patuh peraturan kehadiran pekerja iaitu sebanyak 60 peratus.

Pihak polis melakukan pemeriksaan pematuhan SOP di beberapa pejabat swasta di sekitar Timur Laut hari ini.

“Dalam operasi sama, kita menahan seorang wanita warga Iran atas kesalahan tidak imbas MuSejahtera.

“Sehubungan itu, saya harap majikan dan semua lapisan masyarakat khususnya di daerah Timur Laut untuk terus mematuhi SOP penularan Covid-19 bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil,” ujar Soffian. -MalaysiaGazette