Pihak polis memeriksa dokumen rentas daerah serta surat majikan seorang penunggang motosikal yang melalui SJR.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sepatutnya mempunyai perancangan terperinci berhubung surat kebenaran yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Bagi pekerja dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di sebuah syarikat swasta Farisya Alya Rosdi, 25, MITI perlu menyediakan platform untuk para majikan membuat permohonan surat itu dengan cepat.

Ujarnya, surat kebenaran beroperasi bagi sektor tertentu bukan sahaja penting untuk syarikat, malah juga penting untuk pekerja sekiranya diminta menunjukkan bukti apabila melalui Sekatan Jalan Raya (SJR).

Juru IT, Farisya Alya Rosdi bercakap kepada wartawan mengenai isu surat daripada MITI ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar ibu kota, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 2 JUN 2021

“Sekarang ini kebanyakannya kalau hanya beri surat daripada syarikat memang tidak cukup, memang perlu surat dari MITI kalau tidak, semua mengaku perkhidmatan penting.

“Sebab sekarang jalan raya masih banyak kereta, kebanyakan mungkin boleh bekerja dari rumah. Jadi surat daripada MITI itu penting, saya sendiri ada surat dari MITI. Kerajaan umum perkara ini baru-baru sahaja kan, jadi agak kelam kabut, jadi kita kena bagi masalah kepada kerajaan.

“Bila terlalu ramai mohon surat kebenaran, server jadi jem, jadi kena tunggulah. Tapi saya rasa perkara ini perlu ada perancangan, boleh buka beberapa server jadi permohonan boleh dibuat pelbagai cara,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian mengulas masalah pihak industri yang berada di bawah kategori perkhidmatan keperluan yang masih tidak mendapat surat kebenaran daripada MITI untuk beroperasi sepanjang PKP penuh.

Pekerja Swasta, Kazim Hasimun, 40 bercakap kepada wartawan mengenai isu surat daripada MITI ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar ibu kota, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 2 JUN 2021

Seorang pekerja yang terlibat dalam sektor pembekalan perubatan Kazim Hasimun, 40, berkata, sektor yang tidak terlalu penting untuk beroperasi perlu bertolak ansur dengan yang lain.

Ujarnya, permohonan perlu diutamakan terhadap sektor yang penting terutama melibatkan bekalan makanan dan perubatan.

“Semalam pun syarikat suruh kami cuti sebab tidak dapat surat dari MITI, sekarang ini sebab dibenarkan sehingga surat diterima 4 Jun guna surat MITI sebelum ini.

“Permohonan mungkin terlalu banyak, beri kebenaran keluarkan surat yang penting dahulu, untuk bekalan makanan,” kata beliau.

Sektor Perkilangan, Suhaili Omar,48 bercakap kepada wartawan mengenai isu surat daripada MITI ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar ibu kota, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 2 JUN 2021

Berbeza pula dengan pekerja di bahagian sektor perkilangan, Suhaili Omar tidak menafikan bahawa sistem yang ditetapkan kerajaan pada hari ini untuk mengeluarkan surat MITI susulan daripada tindakan menyalahgunakan kebenaran yang diberikan sebelum ini.

Jelasnya, seiring dengan tujuan kerajaan melaksanakan PKP penuh iaitu mengurangkan pergerakan, sepatutnya sektor yang boleh beroperasi secara dalam talian atau daripada rumah perlu bertindak sedemikian.

Ujarnya, ini kerana ia bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dalam komuniti.

“Kadang-kadang surat itu diambil mudah disalahguna, sekarang kes tinggi, jadi perlu yang penting sahaja yang perlu diberi kebenaran,” kata beliau.

Pekerja Kedai Roti, Farhana Mohd Damanhuri, 21 bercakap kepada wartawan mengenai isu surat daripada MITI ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar ibu kota, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 2 JUN 2021

Sementara itu bagi Farhana Mohd Damanhuri,21, surat kebenaran bekerja daripada syarikat memadai untuk memudahkan pekerja dalam sektor yang dikategorikan penting pada waktu ini untuk mengelakkan berlakunya kesulitan.

“Kalau surat daripada syarikat sebenarya dah boleh untuk kita bekerja, kalau tunggu surat MITI kita yang bekerja surat. Sebab bila syarikat keluarkan surat maksudnya kita kena bekerja. Kalau ada SJR surat kebenaran syarikat itu boleh digunakan,” tambahnya.

Sehingga kini, polis dilaporkan memberi kelonggaran sehingga tiga hari kepada mana-mana pihak untuk mendapatkan surat kebenaran daripada MITI bermula 1 Jun 2021.

Kelonggaran itu diberikan susulan masih ada pihak industri yang menggunakan surat lama.-MalaysiaGazette