Dr. Adham baba

KUALA LUMPUR – Kajian mendakwa jumlah kematian ekoran positif Covid-19 di negara ini mungkin mencecah 26,000 kes tidak mustahil boleh berlaku.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata demikian mengulas kajian  Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman baru-baru ini.

Beliau menjelaskan unjuran itu boleh berlaku sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah-langkah pencegahan khusus antaranya PKP Penuh, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, ia dapat dilihat daripada pola kematian dalam kalangan pesakit Covid-19 di negara ini menjurus kepada golongan muda.

“Mereka ini tidak sempat ditempatkan ke hospital, justeru meninggal dunia apabila tiba dan ini berpunca daripada kandungan oksigen dalam badan yang rendah.

“Ia dikaitkan dengan happy hypoxia yang pernah dilaporkan dan dikesan oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini, sekali gus menyaksikan pesakit Covid-19 tidak mengalami sebarang gejala.

“Tetapi, hakikatnya kandungan oksigen dalam badan mereka sebenarnya rendah dan situasi ini langsung tidak disedari, sebelum ia terlalu lambat,” katanya dalam sidang media di Hospital Kanak-kanak Univerisiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras hari ini.

Beliau berkata kajian oleh Institute for Health Metric and Evaluation (IHME) Universiti Washington itu juga menganggarkan kadar kematian harian akan mencecah 200 kes menjelang akhir Ogos.

Unjuran itu angka didapati sembilan kali ganda daripada jumlah kumulatif kes kematian terkini iaitu 2,993 setakat semalam.

Jelas Dr. Adham lagi, ia boleh dilihat apabila terdapat peningkatan kes brought in dead atau meninggal ketika dibawa ke hospital dalam kalangan golongan muda mutakhir ini.

“Data semalam menunjukkan kes brought in dead berusia 26 tahun dibawa ke hospital, golongan muda sudah muda dijangkiti Covid-19 di luar dan tidak sempat nak dapatkan rawatan, mereka sudah tidak cukup oksigen dalam badan.

“Mereka tidak dapat rasa apa-apa simptom tetapi didapati bekalan oksigen dalam badan mereka amat rendah” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Covid-19 ragut 126 nyawa, jumlah korban menghampiri angka 3,000