Suasana pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Gombak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Angka korban akibat Covid-19 semakin meningkat dengan angka terkini sebanyak 126 mangsa wabak tersebut meninggal dunia hari ini.

Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah pesakit Covid-19 yang meninggal dunia kini menghampiri 3,000 kes.

Sejak wabak itu melanda negara pada Februari tahun lalu sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 2,993 kematian telah direkodkan dengan rata-rata pesakit berusia 60 tahun ke atas dan mengidap penyakit lain.

Jumlah kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) turut membimbangkan di mana sebanyak 878 pesakit kini sedang mendapatkan rawatan dan 441 daripadanya menggunakan bantuan alat pernafasan.

Jumlah kes sembuh iaitu sebanyak 5,777 juga menurun berbanding 6,083 pesakit pulih semalam menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 501,898 kes.

Terdahulu hari ini, KKM melaporkan sebanyak 7,703 kes positif baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif mereka yang dihidapi wabak itu 587,165 kes.

Daripada jumlah jangkitan baharu yang dikesan 7,701 merupakan penularan tempatan manakala dua lagi kes import. – MalaysiaGazette