Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN – Sebanyak RM9.3 juta lagi peruntukan tambahan kerajaan Pahang kepada Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid-19 untuk kebajikan rakyat di negeri itu.

Ia menjadikan jumlah terkini BPP Covid-19 sebanyak RM17.1 juta, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pertambahan itu dibuat kerana ada rakyat di negeri itu terputus mata pencarian ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Dengan ini, RM17.1 juta diperuntuk bagi pelaksanaan BPP Covid-19 Secara Bersasar di bawah kedua-dua Fasa 1 dan Fasa 2.

“Fasa 1 yang saya umumkan 24 Mei lepas, nilai peruntukannya ialah RM7.8 juta, ada yang telah pun diagih-agihkan manakala bagi golongan miskin tegar, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas melebihi 80 tahun yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diagihkan bermula minggu depan.

“Peruntukan besar yang kerajaan negeri disediakan ini tentunya bukti dan tanda kerajaan negeri mengambil berat  ke atas kemaslahatan rakyat, apatah lagi dalam menghadapi tempoh yang sukar sekarang.

“Ia juga disediakan adalah menurut kemampuan kewangan kerajaan negeri ketika ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Seperti inisiatif-inisiatif bantuan kerajaan negeri yang diberikan sebelum ini, BPP Covid-19 Secara Bersasar Fasa 2  masih dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan menerusi penyerahan bakul makanan.

Jelas Wan Rosdy lagi, antara golongan yang akan memanfaatkanny ialah pengusaha bot dan pemandu pelancong, operator kantin harian sekolah dan pekerjanya, penyedia perkhidmatan penghantaran, pemandu e-hailing, serta sukarelawan di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Bantuan turut disalurkan kepada masyarakat Orang Asli menerusi tok batin mereka serta penduduk di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR)

“Selain itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB), ahli-ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia serta para penggiat seni.

“Semoga semua dapat memanfaatkan bantuan ini, bak kata orang tua-tua, sedikit tanda ingat, banyak tanda ada,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast