Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan dibantu oleh kakitangan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) untuk melakukan pendaftaran bagi mendapatkan vaksin pada Program Imunisasi Kebangsaan Untuk Komuniti OKU Penglihatan di Lembah Klang di Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 200 golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan sekitar Lembah Klang dijangka menerima vaksin pada hari ini.

Mereka diberi suntikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) khas untuk komuniti tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) George Thomas.

Sehingga kini, menurutnya, lebih kurang 1,800 OKU cacat penglihatan yang telah berdaftar untuk mengambil vaksin Covid-19.

Beliau berharap PICK untuk komuniti OKU berkenaan yang bermula hari ini akan dapat meningkatkan kesedaran golongan itu untuk menerima vaksin Covid-19.

“Oleh kerana MAB di Brickfields ini merupakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang pertama untuk golongan ini, maka saya berharap lebih ramai OKU penglihatan akan mengambil vaksin selepas ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan dibantu oleh kakitangan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) untuk melakukan pendaftaran bagi mendapatkan vaksin pada Program Imunisasi Kebangsaan Untuk Komuniti OKU Penglihatan di Lembah Klang di Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 JUN 2021.

Komplek MAB di Brickfields menjadi PPV yang pertama untuk PICK bagi komuniti OKU penglihatan sekitar Lembah Klang yang bakal berlangsung selama tiga minggu.

Dalam pada itu, pegawai perubatan daripada Pejabat Kesihatan Lembah Pantai yang menyelia PPV berkenaan, Dr. Jasmine Avalani berkata, seramai 15 petugas kesihatan ditugaskan setiap hari sepanjang tiga minggu.

Jelas beliau, PPV Kompleks MAB itu akan beroperasi seawal pukul 9 pagi hingga 3 petang dan kapasiti penerima vaksin akan dikawal supaya tidak berlaku kesesakan.

Penerima vaksin, Ho Siew Wah, 52, menunjukkan aplikasi MySejahtera selepas menerima vaksin pada Program Imunisasi Kebangsaan Untuk Komuniti OKU Penglihatan di Lembah Klang di Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 JUN 2021.

Jasmine berkata, proses pemberian vaksin Covid-19 berjalan dengan lancar dan tidak ada penerima yang mengalami komplikasi.

“Dari 9 pagi hingga 3 petang. Dari pagi sehingga sekarang perjalanan berjalan lancar, penerima vaksin tidak komplikasi.

“Proses yang kami amalkan sama dengan PPV yang lain, ada kaunter saringan gejala, pendaftaran, lihat kelayakan menerima dan ruang suntikan vaksin termasuk pemantauan. Kami jangkakan dengan pemberian vaksin ini tahap kesedaran untuk mengambil vaksin akan meningkat,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast