KUALA LUMPUR – Legenda bola sepak kebangsaan, Azman Adnan berpendapat Amri Yahyah lebih layak menerajui jentera serangan skuad Harimau Malaya daripada Guilherme De Paula.
Pandangan bekas pemain Kuala Lumpur dan Selangor itu susulan aksi hambar penyerang naturalisasi itu ketika skuad negara menjadi ‘lauk’ apabila dibelasah 4-0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia semalam.
Malah, Azman menyifatkan tahap De Paula dan dua lagi pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh hanya bintang di Liga Malaysia sahaja.
“Sudah ramai pemain naturalisasi sepatutnya skuad negara bertambah lebih baik tetapi ini terbalik.
“Sepatutnya mereka membantu pemain tempatan tetapi pemain tempatan pula membantu mereka.
“Maksud saya mereka perlu tunjukkan kemampuan dan keajaiban mereka, mereka ini bertaraf import dan tidak merugikan Malaysia yang mengambil mereka,” katanya menerusi Facebook miliknya.
“Tidak kisah pemain tempatan atau naturalisasi, semangat dan jiwa kena ada. Bendera yang kita pakai dan bawa ini bukan calang-calang, kalau saya pun bila pakai bendera ini ketika bermain boleh menangis kerana semangat dan cintakan negara,” katanya. – MalaysiaGazette