Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, Menteri Wilayah melawat pelaksanaan Program Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di PA Seri Sabah 3A, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 05 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa mengalu-alukan pelaksanaan sidang Parlimen secara hibrid yang sedang dikaji sekarang.

Menteri Wilayah Persekutuan itu menyokong usaha tersebut asalkan persidangan berkenaan tidak mengganggu proses ataupun keadaan proklamasi darurat yang diisytiharkan oleh Yang diPertuan Agong.

Katanya, banyak perkara boleh dijawab sekiranya Parlimen kembali bersidang daripada menteri-menteri menjawab persoalan yang ditimbulkan di Facebook sahaja.

“Saya sebagai ahli Parlimen mengalu-alukan bila ada sidang dan kalau ada sidang menteri-menteri pula berpeluang untuk menjawab soalan-soalan daripada menjawab di Facebook macam-macam.

“Saya fikir lebih suka jawab di Parlimen face to face…kita boleh dengar soalan tambahan dan kita boleh beri penjelasan secara teratur.

“Jadi, saya secara peribadi untuk Parlimen Ketereh mengalu-alukan kalau ada persidangan asalkan persidangan itu tidak mengganggu proses atau pun keadaan proklamasi darurat yang telahpun diisytiharkan oleh Agong,” katanya yang merupakan Ahli Parlimen Ketereh.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau Program Saringan Komuniti Bersasar (RTK-Antigen) di Perumahan Awam Seri Sabah 3A, Bandar Tun Razak hari ini.

Beliau ditanya sebelum itu ditanya berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang memaklumkan kerajaan sedang mengkaji kaedah dan pendekatan untuk memungkinkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang.

Mengulas lanjut Annuar berkata, keutamaan pada ketika ini adalah usaha untuk mencegah penularan Covid-19 dan isu berkaitan nyawa merupakan perkara paling penting untuk diberi tumpuan.

Jelasnya, kerajaan mempunyai pelan dalam memerangi Covid-19 dan pelan itu merupakan jangka panjang namun, ia masih lagi separuh jalan.

Ujarnya, jika langkah berkenaan diganggu ia tidak akan menampakkan keberkesananya dan usaha yang dibuat tidak akan ke mana-mana.

“Bila kita pilih nak buat proklamasi darurat ia ada satu tempoh…macam sekarang kita buat hingga Ogos, kalau Ogos tu tak dapat disempurnakan kalau perlu bersambung kita timbang akan sambung sebab keutamaan kita mesti menang dulu peperangan ini dan untuk perangi Covid ini tak boleh ambil secara berasingan daripada proses vaksinasi imunisasi nasional.

“Jangan ambil dari kes berapa ramai dan berapa ribu kes..kena tengok pula dari sudut penawarnya…jadi kalau sakit melonjak penawar belum sempurna kita sudah give up, tak boleh,” ujarnya. – MalaysiaGazette