Satu petisyen dalam talian yang mendesak Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali meletak jawatan mendapat lebih 175,000 tandatangan warganet.
Satu petisyen dalam talian yang mendesak Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali meletak jawatan mendapat lebih 175,000 tandatangan warganet.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK)  ingin melihat sama ada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menasihatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk meletakkan jawatan atau tidak ekoran petisyen terhadap Menteri Kanan Ekonomi itu mencecah 200,000 kelak.

Menurut ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, rakyat jelas menolak Mohamed Azmin yang pada mereka gagal berfungsi sebagai menteri kanan.

“Hari ini kita tengok Azmin letak jawatan, 172,000. Jadi saya selalu Pengerusi AMK serta mewakili rakyat pengundi Johor Bahru, saya jemput rakan-rakan semua untuk sama menyokong.

“Kita pastikan petisyen ini kalau kita boleh capai 200,000 kita tengok Perdana Menteri berani suruh Azmin letak jawatan atau tidak,” katanya dalam ucapan dasar AMK dalam Kongres Nasional tahunan AMK PKR 2020 secara maya hari ini.

Setakat jam 9 pagi tadi, petisyen dalam talian yang mendesak Mohamed Azmin meletak jawatan mendapat lebih 175,000 tandatangan warganet.

Petisyen dengan tanda pagar #AzminLetakJawatan itu dimulakan semalam oleh pengguna maya dengan nama Kerajaan Gagal di laman www.change.org mensasarkan untuk meraih 200,000 tandatangan.

Ahli Parlimen Gombak itu yang bertanggungjawab terhadap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dikritik ramai pihak susulan dakwaan terdapat kebenaran operasi perkhidmatan tidak perlu semasa pelaksanaan total lockdown.

Mohamed Azmin sebelum ini menegaskan, surat kebenaran beroperasi oleh Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) hanya dikeluarkan selepas kementerian yang mengawal selia sektor yang dibenarkan beroperasi, memberi pengesahan kepada MITI. – MalaysiaGazette