Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mengagihkan komputer riba lengkap dengan akses internet kepada murid daripada keluarga B40 jelas menunjukkan bahawa kerajaan benar-benar serius dalam memberikan fokus pendidikan kepada rakyat.

Ketua Badan Pimpinan Negeri, Wilayah Persekutuan (BPNWP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berkata, maklumat yang diberikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini membuktikan bahawa kerajaan tidak sesekali mengabaikan golongan berkenaan sebaliknya, mereka terus dibantu dalam apa jua aspek.

Pembelian 150,000 unit komputer riba yang dikhaskan untuk anak-anak daripada golongan berkenaan boleh dianggap sebagai tanggungjawab yang telah ditunaikan oleh kerajaan dan amanah itu adalah bagi kesempurnaan murid dalam mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Pemberian komputer riba ini merupakan satu lagi manifestasi kerajaan dalam memastikan penyampaian pendidikan kepada anak-anak bangsa tidak terhenti meskipun negara masih lagi berdepan pandemik Covid-19.

“Menerusi pemberian itu juga, ibu bapa daripada golongan B40 tidak lagi rungsing untuk memikirkan bagaimana mereka boleh menyediakan kemudahan pembelajaran buat anak-anak mereka,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Muhammad Suhaimi lagi, sejak kerajaan di pimpin oleh Perikatan Nasional, banyak perkara telahpun dibuat demi kesejahteran dan kelestarian rakyat sejagat.

Katanya, bukan sekadar mengurus negara ketika pandemik Covid-19 yang semakin mengganas ketika ini, tetapi tata kelola terhadap pengurusan disetiap kementerian juga dapat berjalan dengan baik.

Ujarnya, perkara itu dapat dilihat dengan jelas apabila semua kementerian termasuk agensi-agensi dibawahnya bergading bahu dan bertungkus lumus bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan dapat berjalan dengan lancar.

Terdahulu hari ini, Radzi pada sidang media khas secara maya memaklumkan, kementeriannya telahpun mengagihkan sebanyak 12,887 daripada 150,000 unit komputer riba kepada murid daripada keluarga B40, setakat semalam.

Beliau berkata, komputer riba tersebut dilengkapi akses internet selama setahun dan kumpulan penerima pertama menerusi projek perintis pembelajaran digital CERDIK itu membabitkan murid di 95 sekolah daripada 51 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negara.

Katanya, pengagihan 40,290 unit lagi peranti sedang berlangsung dan ia dijangka selesai selewat-lewatnya 12 Jun ini manakala baki 96,823 unit peranti pula dijangka selesai pada akhir September 2021.

Dalam pada itu, Muhammad Suhaimi mengingatkan pembangkang agar tidak sesekali mengeluarkan sebarang tohmah terhadap kerajaan berhubung pemberian komputer riba itu.

Tegasnya, kerajaan telah menunjukkan bukti menerusi pengumuman itu dan tidak ada ruang lagi yang boleh dijadikan penyebab kelompongan berhubung perkara yang mungkin ditimbulkan.

“Kerajaan tidak akan sesekali membiarkan negara dan rakyatnya kesusahan. Tidak kira dalam apa jua keadaan tanggungjawab dalam membela nasib rakyat menjadi agenda utama yang perlu ditunaikan,” ujarnya.

Sebelum ini Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyuarakan kekecewaannya dengan mekanisme yang diperincikan kerajaan berhubung pemberian komputer riba berkenaan.

Beliau menggesa kerajaan menyediakan perincian yang lebih telus mengenai program tersebut.

Perkara sama turut dibangkitkan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin apabila mempersoalkan kelewatan kerajaan menyediakan 150,000 laptop untuk membantu murid dan pelajar menyertai sesi persekolahan melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Beliau mendakwa, ketika ini ramai murid yang tidak dapat mengikuti kelas dalam talian kerana mereka tidak mempunyai peranti atau tidak mempunyai capaian internet yang mencukupi. – MalaysiaGazette