Feri Pulau Pinang akan dijadikan muzium terapung.

GEORGE TOWN – Sebuah Feri Pulau Pinang yang dilaporkan hampir tenggelam dalam Sungai Perai di Limbungan Bagan Dalam, Butterworth, di sini, akibat tersadai sejak November 2019 lalu diapungkan semula hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, feri ikonik itu diapungkan semula dengan cara mengepam air yang bertakung di dalamnya.

Jelas beliau, langkah itu dibuat untuk menaikkan feri tersebut ke darat dalam masa yang singkat.

“Air sudah dipam keluar dari Feri Pulau Pinang ketika air surut pada jam 4 petang tadi dan lubang kebocoran seterusnya akan diperbaiki bagi memastikan feri terbabit kembali terapung.

“Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat secara maya diadakan SPPP dengan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) pagi tadi bagi mengepam air keluar, sekaligus membolehkan kerja pembaikan dibuat PPSB dan kontraktor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, SPPP memutuskan bagi menempatkan Feri Pulau Pinang di Limbungan Bagan Dalam selepas operasinya ditamatkan pada November 2019, kerana air di sana cetek dan tidak akan menyebabkan feri hanyut

Jelas Teik Cheng, feri berkenaan ketika ini sedang melalui proses penilaian tender bagi pajakan sebagai muzium yang akan ditempatkan di Tanjung City Marina dekat sini.

Difahamkan, ketika ini hanya sebuah feri lama iaitu Feri Pulau Angsa masih beroperasi bagi mengangkut motosikal dan basikal, manakala tiga buah feri bot laju digunakan bagi membawa pejalan kaki dalam tempoh interim sebelum diganti dengan perkhidmatan baharu

Terdahulu, tular beberapa keping gambar di media sosial memaparkan Feri Pulau Pinang yang dalam keadaan separuh tenggelam tular sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak terutamanya penduduk Pulau Mutiara itu.

Ini kerana, perkhidmatan itu mempunyai nostalgia tersendiri kepada penduduk negeri tersebut selain menjadi salah satu identiti pelancongan sejak sekian lama. – MalaysiaGazette