Feri Pulau Pinang akan dijadikan muzium terapung.

GEORGE TOWN – Feri Pulau Pinang yang hampir karam di dalam Sungai Perai di Limbungan Bagan Dalam, Butterworth di sini akan dijadikan muzium terapung.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, pihaknya membuka tender permintaan untuk cadangan (RFP) tahun ini dan feri Pulau Pinang sudah disenaraikan sebagai muzium terapung.

“Mengikut perancangan ia akan ditempatkan di Tanjung City Marina di sini dan RFP sudah menemui calon yang sesuai sesuai.

“Kita harap semua feri ikonik lama ini akan diserahkan kepada syarikat yang layak untuk pengubahsuaian pada bulan Julai ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai keadaan feri usang itu, Teik Cheng berkata, feri tersebut dijangka akan diapungkan semula malam esok selepas kerja membaikinya dilakukan sejak petang semalam.

Kerja-kerja pembaikan feri sedang dijalankan.

Katanya, kerja pembaikan feri itu dijalankan pihaknya bersama Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan kontraktor.

“Siasatan awal mendapati beberapa lubang kebocoran pada feri berkenaan menyebabkan air masuk ke dalam feri menerusi lubang itu dan memenuhi bilik enjin sekaligus menyebabkan kedudukan feri menjadi condong.

“Feri Pulau Pinang yang uzur itu sudah tidak dapat beroperasi lagi seperti biasa pada akhir tahun 2019 kerana tiada alat ganti yang mencukupi serta enjin tidak dapat dibaiki lagi.

“Tindakan mengepam air keluar sudah dilaksanakan ketika air surut pukul 4 petang semalam bagi membolehkan kerja pembaikan dibuat,” katanya.

Ketika ini terdapat sebanyak enam buah feri ikonik di Pulau Pinang.

Salah satunya dihadiahkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang; dua akan dijadikan feri pelancongan, dua akan dijadikan restoran terapung mankala satu lagi akan dijadikan muzium terapung.

Terdahulu tular beberapa keping gambar menunjukkan keadaan feri Pulau Pinang dimasuki air dan hampir tenggelam akibat tidak diselenggara dengan baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast