Petugas Unit Forensik membawa masuk mayat ke dalam kontena kadaverik 'freezer' berikutan peningkatan kes kematian Covid-19 di Hospital Sultanah Aminah, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JUN 2021.
JOHOR BAHRU – Peningkatan kes jangkitan Covid-19 di seluruh dunia ternyata memberi impak langsung kepada  pengurusan pesakit di peringkat kesihatan awam dan perawatan perubatan di seluruh hospital di negara ini.

 

Penambahan pembukaan wad-wad biasa kepada wad-wad Covid-19 akibat peningkatan jumlah pesakit wabak tersebut juga telah memberi impak besar kepada pengurusan jenazah terutama di hospital-hospital kerajaan.

Ia ditambah pula kemasukan sejumlah kes pesakit telah meninggal dunia semasa dibawa ke hospital (Brought In Dead) disahkan positif Covid-19 setelah ujian PCR dijalankan.

Pihak pengurusan jenazah juga berhadapan dengan kes kematian warga asing yang memerlukan pelbagai prosedur seperti dokumentasi kedutaan, urusan repatriasi dan penglibatan pihak waris dari negara asal.

Petugas Unit Forensik bertugas menempatkan mayat di kontena kadaverik ‘freezer’ yang disediakan bagi menampung peningkatan jumlah kematian akibat Covid-19 di Hospital Sultanah Aminah, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JUN 2021.

Kesukaran bertambah apabila terdapat kes-kes jenazah yang dibawa ke mortuari tanpa dokumen pengenalan diri yang biasanya dikenali sebagai jenazah ‘UNKNOWN’ atau ketiadaan waris datang menuntut jenazah.

Senario ini ternyata memberi kesan kepada ruang penyimpanan jenazah di hospital-hospital kerajaan yang tidak lagi dapat menampung ‘limpahan’ jenazah atau mayat.

Pakar Perubatan Forensik dan Ketua Jabatan di Jabatan Perubatan  Forensik, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB), Dr Mohamad Aznool Haidy Ahsorori ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, perkembangan semasa menuntut pihak hospital menyediakan ruang tambahan seperti kontena khas untuk menempatkan mayat-mayat pesakit.

Di HSAJB, katanya, kontena khas kadaverik ‘freezer’ digunakan sebagai tambahan kepada ruang penyimpanan jenazah sedia ada yang hampir mencecah 100 peratus penggunaannya.

Petugas Unit Forensik melakukan kerja-kerja mengurus mayat yang kini ditempatkan dalam kontena khas berikutan peningkatan kes kematian Covid-19 di Hospital Sultanah Aminah, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JUN 2021.

Peningkatan pengurusan jenazah pada ketika ini sama ada kes kematian berkait jangkitan Covid-19 atau kes kematian biasa telah menyebabkan kekangan ruang penyimpanan jenazah sedia ada yang terhad di dalam bangunan mortuari.

Penyusunan semula pengurusan penyimpanan jenazah perlu dilakukan yang menyebabkan ruang penyimpanan jenazah di luar bangunan mortuari diperlukan dalam bentuk Kontena Kadaverik ‘Freezer’.

Keadaan ini adalah amat perlu bagi mengelak jenazah mengalami proses pereputan lanjut agar jenazah dapat diserahkan dalam keadaan hampir sempurna untuk pengecaman visual.

“Keadaan ini juga amat penting sekiranya proses pemeriksaan lanjut ke atas jenazah oleh pegawai perubatan atas keperluan mahkamah sekiranya dipohon oleh pihak PDRM,” katanya.

Petugas Unit Forensik melakukan kerja-kerja mengurus mayat yang kini ditempatkan dalam kontena khas  berikutan peningkatan kes kematian Covid-19 di Hospital Sultanah Aminah, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JUN 2021.

Kontena khas bersuhu rendah yang ditempatkan di ruang parkir Jabatan Perubatan Forensik HSAJB, kata Dr Aznool, mampu menampung 20 jenazah pada satu-satu masa selain 17 tempat penyimpanan jenazah sedia ada di dalam bangunan mortuari.

Mengenai kes-kes ‘Brought In Dead’ dari luar hospital, katanya, kebiasaannya  dibawa oleh pihak polis atau waris dan ia telah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.

Kes-kes tersebut kelazimannya akan disaring Covid-19 melalui ujian PCR sebelum siasatan lanjut kematian diteruskan.

Oleh itu, pengurusan kes-kes sebeginilah juga akan menyumbang kepada peningkatan jenazah sebelum ia dapat diserahkan kepada pihak waris atau autoriti berkaitan seperti kedutaan warga asing masing-masing.

Petugas Unit Forensik melakukan kerja-kerja mengurus mayat yang kini ditempatkan dalam kontena khas berikutan peningkatan kes kematian Covid-19 di Hospital Sultanah Aminah, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JUN 2021.

“Alhamdulillah kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia kerana amat prihatin di dalam membantu kami menangani peningkatan pengurusan jenazah ini.

“Usaha ini mendapat sokongan penuh daripada Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik Kebangsaan kami iaitu Dato’ Zahari Mohd Noor  dan pakar kami yang lain. Serta sokongan kuat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor serta pihak pengurusan hospital HSAJB kami,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast