JOHOR BAHRU- Sindiket operasi judi dalam talian melibatkan warga Korea Selatan melibatkan nilai taruhan RM87 juta ditumpaskan polis.
Kejayaan itu selepas polis menyerbu sebuah premis yang dijadikan pusat panggilan (calling centre) di Iskandar Puteri pukul 5 petang semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan itu, seramai sembilan lelaki warganegara Korea Selatan dan seorang lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 66 tahun telah ditahan.
Beliau berkata, sindiket ini telah menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi judi dalam talian sejak dua tahun lalu dengan menyasarkan pelanggan dari negara Korea Selatan.
“Siasatan awal mendapati warga Korea Selatan tersebut berperanan sebagai customer service yang menjaga operasi judi talian yang mana mereka akan bekerja secara dua syif dalam tempoh 24 jam.
“Manakala warga tempatan berperanan sebagai runner serta menjaga kebajikan warganegara Korea Selatan tersebut dengan menyediakan makan, minum dan tempat tinggal,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut Ayob Khan, mereka juga menjadikan perumahan elit itu dan akan berpindah ke lokasi lain selepas tiga hingga enam bulan beroperasi di sesuatu kawasan bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Modus operandi yang digunakan dengan memasuki negara ini sebagai pelancong menggunakan pas lawatan sosial kemudian menyewa kediaman mewah yang mempunyai jaringan internet yang pantas serta kawalan keselamatan yang baik bagi menyukarkan pihak berkuasa menghidu kegiatan mereka,” katanya.
Semakan rekod lampau ke atas warga tempatan yang ditangkap mendapati terlibat dengan kesalahan mengikut Seksyen 39 (A) (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun 2002.
Turut dirampas dari kedua-dua serbuan antaranya ialah enam set komputer, empat komputer riba, 13 buah telefon bimbit, wang tunai RM36,168 dan mata wang Korea $7,779,00 Won.
“Tangkapan melibatkan warganegara Korea Selatan dalam menjalankan aktiviti judi dalam talian adalah pertama kali di Johor,” katanya.
Kesemua warga Korea Selatan itu direman 14 hari bermula semalam manakala warga tempatan yang ditahan direman tiga hari.-MalaysiaGazette