KUALA LUMPUR – Warga emas diminta supaya tidak memilih jenis vaksin Covid-19 yang bakal diterima, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, tiada jaminan untuk golongan berkenaan menerima jenis-jenis vaksin tertentu meskipun tarikh temu janji dijadualkan semula.
Justeru Khairy menyarankan golongan itu mengambil vaksin yang telah ditetapkan sahaja.
“Ia (tarikh temu janji) akan dijadualkan semula tetapi kita perlu beritahu walaupun kita jadualkan semula anda tidak boleh pilih vaksin anda, jadi tidak ada jaminan untuk dapatkan Pfizer.
“Jadi saranan kami tolong ambil apa juga vaksin yang diberikan kepada anda sebab Sinovac pun sekarang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perlindungan tinggi kepada kematian, jadi jangan memilihlah,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai segelintir warga emas mahu menerima vaksin jenis Pfizer bukan Sinovac.
Sementara itu, Khairy berpuas hati dengan proses PPV di KLCC yang bermula hari ini.
Namun beliau berkata, kerusi roda perlu ditambah di PPV mega berkenaan memandangkan keutamaan pada fasa itu masih kepada golongan warga emas.
Tambah beliau, PPV itu membuka 3,900 sahaja penerima vaksin untuk hadir hari ini sebagai permulaan dan jumlah itu akan ditambah dari masa ke semasa sehingga mencecah 10,000 orang sehari.
“Saya nampak dari segi operasi kita di KLCC lancar dan kita melihat prosesnya tersusun, saya pun tanya kepada penerima vaksin mereka tidak ada banyak masalah cuma mungkin kita kena sediakan lebih banyak kerusi roda sebab kita masih lagi memberi vaksin kepada golongan warga emas. Susun aturnya saya puas hati di PPV KLCC ini,” katanya lagi.
“Tidak nampak penuh kerana kita mulakan dengan 3,9000 penerima hari ini. Jangkaan di sini 10,000. Kita bagi masa seminggu, tengok susunannya,” katanya.
Selain KLCC, PPV mega yang mula beroperasi hari ini adalah di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Manakala di Selangor, tiga PPV mega bermula hari ini iaitu, di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) dan Pusat Konvensyen dan Pameran Mines (MIECC).-MalaysiaGazette