Sewaktu mudanya, Rahibah seorang yang sangat stylo.

MUAR – Jika di Muar, wanita ini dikenali sebagai seorang yang cukup bergaya. Sewaktu mudanya, beliau seorang yang sangat stylo.

Dia paling terkedepan jika membicarakan hal gaya dan fesyen. Kalau sedikit masa lalu penggemar festen tanahair dilanda gaya colour block, wanita ini telah menggayakannya lebih 20 tahun lalu.

Nama Rahibah Mohd. Yasin, 57 atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ibah tidak janggal lagi bagi orang Muar. Mendengar nama bapanya sahaja sudah membuatkan semua orang Muar kagum.

Bapanya Tuan Guru Haji Mohd Yassin merupakan ikon agama serta sebuah nama besar di Muar khususnya serta di Johor amnya.

Jasa Tuan Guru ini dalam mengembangkan pendidikan agama Islam serta membuka sekolah Arab dan agama membuatkan beliau serta kaum keluarga beliau dikagumi orang Muar.

Ini ditambah pula dengan munculnya sebutir bintang dari kalangan keluarga beliau yang meniti persada politik tanahair iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ( Abah TSMY)

Walaupun Kak Ibah berlainan ibu dengan Abah TSMY, namun hubungan adik beradik di antara mereka amat akrab.

Lama juga Che Pah tidak bertemu dengan Kak Ibah. Tahun lalu, Che Pah ada terserempak dengan Kak Ibah di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

Che Pah terkejut kerana ikon fesyen Muar ini ditolak oleh anaknya menggunakan kerusi roda. Rupanya Kak Ibah menghadap masalah kecederaan pada kaki akibat kemalangan.

Namun kala berjumpa Kak Ibah di rumah pusakanya minggu lalu, Kak Ibah nampaknya sudah sihat. Dia sudah boleh berjalan seperti biasa.

Mulut Kak Ibah pun sudah berkicau seperti selalunya. Kak Ibah ini orangnya peramah. Dia banyak cakap. Kak Ibah juga mudah mesra dengan orang. Itu yang membuat orang senang dengannya walaupun baru pertama kali bertemu.

Dulu Kak Ibah bertugas sebagai eksekutif di firma pasaran saham yang beroperasi di Muar. Lama juga Kak Ibah bekerja di situ.

Sehinggalah Kak Ibah mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menyandang jawatan sebagai pengurus rumahtangga sendiri.

Kala punya masa yang banyak di rumah, Kak Ibah mula meneruskan hobinya iaitu memasak. Air tangannya itu dihantar ke rumah rakan rapat.

Tak disangka kebanyakan kawan rapat memuji hasil masakan Kak Ibah. Ada yang mula menempah.

Waktu itu Kak Ibah sudah mula menghasilkan makanan sejuk beku seperti karipap, kuih kasturi, kuih bakar pandan dan jagung.

Namun dalam banyak banyak resipi yang di hasilkan, paling mendapat sambutan ialah telur pindang.

Bangsa Johor sudah tidak janggal dengan telur pindang. Mungkin orang di negeri lain tertanya tanya apakah telur pindang ini.

Telur pindang ialah telur yang direbus bersama rempah tertentu dan berjenis jenis dedaun herba termasuk daun senduduk, serai dan kulit bawang.

Telur ini akan direbus tiga hari tiga malam dan ada juga hingga seminggu untuk mendapatkan rasa yang lebih sedap.

Pada kebiasaannya pelanggan akan menempuh telur pindang Kak Ibah ini untuk majlis perkahwinan.

Pelanggan akan menempuh telur pindang Kak Ibah ini untuk majlis perkahwinan.

Che Pah cuba juga mencungkil apakah menu serta makanan hasilan tangan Kak Ibah yang paling digemari Abah TSMY. Maklum mesti ramai yang mahu tahu apakah masakan kegemaran Perdana Menteri ini.

Menurut Kak Ibah, setiap kali pertemuan keluarga yang akan diadakan dalam majlis berbuka puasa, Kak Ibah pasti akan tampil dengan masakan Kari Ikan Jenahak.

Kata Kak Ibah ini antara masakan kegemaran Abah TSMY. Majlis berbuka yang biasanya diadakan seminggu sebelum Hari Raya ini pasti akan dihadiri oleh Abah TSMY dan keluarga beliau.

Selain itu Kak Ibah juga akan menyajikan sambal sotong bersama nasi lemak beras beriyani buat TSMY.

Che Pah tanya juga Kak Ibah, apakah panggilan Abah TSMY dalam kalangan adik beradik dan keluarga. Che Pah cuba korek apa nama manja Abah TSMY.

Kata Kak Ibah, dia dan adik-adik Abah TSMY yang lain memanggil Abah TSMY dengan panggilan Abang Muhyid. Manakala anak anak buah pula memanggil Abah TSMY dengan panggilan Pak Itam.

Sebenarnya Abah TSMY punya ramai adik beradik dari empat ibu. Jika dikira lebih 30 orang. Boleh dikatakan Abah TSMY punya keluarga yang sangat besar.

Kak Ibah menambah lagi, sebagai seorang adik, dia melihat Abah TSMY sebagai seorang abang yang lembut pada adik beradiknya.

Namun disebalik kelembutan itu, Abah TSMY merupakan sosok yang sangat tegas. Kata Kak Ibah bagaimana cara Abah TSMY meladeni rakyat begitulah juga cara dia melayan adik beradiknya.

Tidak mustahillah bagi Che Pah mengapa Abah TSMY menjadi pilihan hati rakyat. Baru baru ini Che Pah baca melalui satu tinjauan yang dibuat, rata rata rakyat memilih Abah TSMY sebagai Perdana Menteri pilihan mengalahkan tiga personaliti politik yang lain.

Jujur Che Pah cakap, hati Che Pah tenang kala melihat wajah Abah TSMY. Sejuk rasa hati kala mendengar Abah TSMY berbicara. Nyaman rasa jiwa kala ABAH TSMY berdoa untuk kita semua.

Che Pah berpeluang bertemu dengan Abah TSMY ketika membuang undi pada pilihan raya lalu. Che Pah terserempak dengan Abah TSMY kala Che Pah menginjak kaki masuk ke perkarangan Sekolah Menengah Sri Muar, Muar untuk menjalankan tangggungjawab sebagai warganegara.

Waktu itu Abah TSMY sedang menghayun langkah keluar dari pusat membuang undi. Abah TSMY seorang diri waktu itu.

“Assalamualaikum Tan Sri. Can I take a photo with u“, sapa Che Pah

Oh yes sure,” jawap Abah TSMY sambil memandang Che Pah dengan senyuman mesra.

Kata Kak Ibah, Abah TSMY sebenarnya seorang yang tidak banyak cakap. Namun hubungan mereka adik beradik rapat.

Kebiasaannya kata Kak Ibah, pada Hari Raya kedua, kesemua adik beradik akan dijemput untuk berkumpul di rumah Abah TSMY yang terletak di Tanjong Emas, Muar.

Di sini mereka semua akan berkumpul dan menggunakan masa yang ada untuk bermesra dengan Abah TSMY dan adik beradik lain yang jarang ketemu.

Menu utama kala mereka berkumpul ialah Lodeh Abah. Che Pah tanya mengapa dinamakan Lodeh Abah?

Jelas Kak Ibah menu ini ialah menu wajib dan paling digemari Abah mereka. Sebab itulah juga mengapa mereka menamakan masakan ini sebagai Lodeh Abah.

Kini Kak Ibah mula mengorak langkah sebagai seorang usahawan. Kak Ibah memilih untuk menjalankan perniagaannya di rumah pusaka yang terletak di Jalan Haji Mohd Yassin, Muar, Johor.

Setiap hari Che Pah diberitahu, ada sahaja pelanggan yang menempah menu yang mereka hajatkan dan datang makan di rumah Kak Ibah.

Kala ada sahaja tempahan, Kak Ibah akan menyiapkan meja serta ruang makan di bahagian luar rumahnya.

Meja makan akan dilapik dengan alas meja yang bersih dan cantik. Pinggan, sudu dan garfu kemas diletak berserta gelas dan cawan. Bunga segar pula pasti menghiasi ruang tengah meja.

Ini keistimewaan Kak Ibah. Bukan sahaja masakan Kak Ibah berasa bak kata orang Muar, bahkan keselesaan serta layanan terbaik menjadi tarikan utama.

Bagi yang mahu menikmati air tangan Kak Ibah, apa kata anda layari FB Kak Ibah iaitu Rahibah Yasin dan dapatkan produk makanan yang sangat sedap hasilan Kak Ibah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast