ISKANDAR PUTERI – Johor tidak akan melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran, sebaliknya akan melakukan saringan bersasar di kawasan berisiko di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, langkah saringan secara bersasar dilihat berkesan terutama dalam mengenal pasti kawasan berisiko.

Katanya, sebanyak 20,000 kit ujian Antigen Rapid Test (RTK-Ag) akan digunakan bagi tujuan saringan bersasar di Johor Bahru berikutan peningkatan kes Covid-19 di daerah itu.

“Kit ujian RTK- Ag yang diterima daripada Singapura menerusi Yayasan Sultan Ibrahim mampu memberi keputusan ujian Covid-19 dalam tempoh kira-kira lima minit dan ketepatan mencapai 98 peratus.

“Kita mengharapkan kit ujian RTK-Ag ini dapat membantu mengesan lebih awal kes jangkitan Covid-19 seterusnya dapat mendatarkan lengkungan kes baharu terutama di kawasan Johor Bahru,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 (CITF) Johor bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad

Sementara itu, Hasni berkata, beberapa lokasi dicadangkan menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) swasta bagi mencapai sasaran pemberian 50,000 vaksin sehari sehingga Oktober ini.

“Antara lokasi yang dicadangkan bagi PPV swasta di negeri ini termasuk bangunan pejabat, pusat membeli belah dan taman tema selain PPV pandu lalu.

“Sebagai contoh, daerah Johor Bahru ketika ini dapat mengekalkan antara 2,900 hingga 3,000 pemberian vaksin sehari, tetapi dengan sasaran yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan, Johor perlu mempunyai keupayaan tidak kurang mevaksinkan 17,000 penerima sehari,” ujarnya. – Malaysiagazette