SPRM Selangor hari ini telah menahan enam pegawai dan kakitangan sebuah bank kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemohon-pemohon pinjaman peribadi melibatkan 110 transaksi berjumlah kira-kira RM18 juta. - Gambar ihsan SPRM.

KUALA LUMPUR – Seramai enam pegawai dan kakitangan sebuah bank telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki terlibat dalam rasuah.

Kesemua suspek disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemohon-pemohon pinjaman peribadi melibatkan 110 transaksi berjumlah kira-kira RM18 juta.

Sumber memberitahu, kesemua suspek lelaki berusia antara 36 hingga 45 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 4.45 petang tadi di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam.

“Wang rasuah tersebut ialah sebagai balasan untuk meluluskan permohonan pembiayaan dari pemohon-pemohon yang sebenarnya tidak layak untuk membuat pinjaman.

“Mereka dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan antara 15 hingga 35 peratus daripada sejumlah 110 pinjaman pembiayaan peribadi yang bernilai lebih kurang RM18 juta,” kata sumber yang sama.

Sumber juga memberitahukesemua pegawai dan kakitangan berkenaan bertugas di beberapa cawangan bank sekitar Lembah Klang.

Difahamkan, SPRM juga telah merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM69,000 dan beberapa jam tangan mewah serta telefon bimbit daripada suspek dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah lebih RM100,000.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan kesemua individu berkenaan ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, kesemua suspek akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk proses permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut SPRM.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.