Keadaan gerabak tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang terlibat dalam kemalangan di laluan Kelana Jaya pada 24 Mei lalu ketika ditunda ke Kompleks Rapid Rail Subang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Dapatan laporan kemalangan melibatkan tren LRT Kelana Jaya yang berlaku pada 24 Mei lalu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau sudah menerima laporan dan pembantangan daripada Jawatankuasa Siasatan.

”Saya berpuas hati dengan laporan oleh Jawatankuasa Siasatan yang terdiri daripada sembilan anggota, diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan yang dibuat secara profesional, komprehensif dalam perinciannya dan dapat diselesaikan dalam tempoh 14 hari yang diberikan kepada mereka.

”Tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan Jawatankuasa Siasatan atas usaha keras dalam beberapa hari ini, bertungkus-lumus siang malam termasuk turun padang ke Pusat Kawalan Operasi (OCC) LRT Kelana Jaya, membuat sesi simulasi di tempat kejadian, temusiasat serta meneliti dokumen-dokumen panduan operasi berkaitan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Artikel berkaitan:Tiga mangsa kritikal kemalangan LRT tunjuk perkembangan baik – Ka Siong

Prasarana minta 83 mangsa insiden LRT tampil beri maklumat diri

Tambahnya, beliau masih meneliti dokumen-dokumen dan hasil penemuan yang diberikan oleh Jawatankuasa Siasatan.

Katanya, dalam pembentangan kepada Kabinet, beberapa cadangan beberapa cadangan untuk meningkatkan keselamatan dan prosedur operasi standard untuk tren RapidRail akan dikemukakan.

Bukan setakat meningkatkan mutu perkhidmatan RapidRail, tetapi penemuan dan cadangan ini juga akan dapat meningkatkan infrastruktur perkhidmatan kereta api Malaysia untuk jangka panjang di masa hadapan, ujar beliau.

Kejadian itu berlaku pada 8.45 malam ketika tren rosak yang sedang dipandu uji laluan Kelana Jaya bertembung di dalam terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Semasa kejadian, tren yang dari KLCC membawa 213 penumpang.

Akibat pertembungan itu 64 orang penumpang cedera termasuk enam kritikal.

Kejadian tersebut menggemparkan negara kerana ia berlaku buat pertama kalinya dalam sejarah perkhidmatan LRT sejak 23 tahun lalu. – MalaysiaGazette

LRT bertembung: 6 kritikal, 3 daripadanya guna alat bantuan pernafasan