Norlia Noah

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) minta 83 daripada 213 mangsa yang terlibat dalam insiden pertembungan tren Transit Aliran Ringan (LRT) segera tampil memberikan maklumat diri.

Pemangku Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datin Norlia Noah berkata, setakat ini pihaknya mempunyai butiran lengkap 111 individu.

Katanya, baki 83 orang lagi belum diperolehi dan pihaknya sangat memerlukan maklumat itu untuk urusan pemberian sumbangan ihsan.

“Kita akan memberikan sumbangan ihsan atau ‘goodwill payment’ kepada penumpang yang terlibat dalam insiden itu. Jumlah dan hak penerimaan akan ditentukan sebaik butiran mengenai penumpang dapat dilengkapi.

“Saluran khas di talian 014-737 1330 dan e-mel: [email protected] telah dilancarkan khusus untuk komunikasi secara langsung dengan penumpang yang terlibat,” katanya, hari ini.

Isnin lalu, dua tren LRT bertembung dalam terowong berdekatan Stesen KLCC ke Stesen Kampung Baru menyebabkan 64 penumpang dimasukkan ke hospital, manakala 149 lagi dirawat di lokasi kejadian.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, satu Jawatankuasa siasatan melibatkan pelbagai agensi akan ditubuhkan bagi mengumpul laporan insiden itu.

Norlia berkata, terdapat juga 12 warga asing dari Indonesia, Filipina, Iran, Bangladesh dan Timur Tengah terlibat dalam insiden itu dan pihaknya sudah menghubungi kedutaan masing-masing.

Katanya, Prasarana memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan penumpang perkhidmatan pengangkutan awam itu atas insiden yang tidak diingini berlaku.

“Kami dukacita dengan kejadian ini yang menghapuskan rekod baik LRT Laluan Kelana Jaya yang beroperasi selama 23 tahun.

“Saya juga mohon maaf atas sebarang kekhilafan dan kepincangan kami dalam menangani insiden ini. Kami akan terus berkongsi maklumat terkini mengenai semua perkembangan insiden ini,” katanya.

Katanya, ini termasuk maklumat mengenai mereka yang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), status pengesanan penumpang serta proses pemulihan sepenuhnya perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.

“Dari 67 penumpang yang dirawat di HKL, 62 orang telah dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan.

“Lima penumpang masih lagi berada di hospital sementara tiga individu ditempatkan di wad biasa dan dijangka dibenarkan keluar dalam tempoh dua hingga tujuh hari lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast