PELABUHAN KLANG – Taktik pengikraran palsu terbongkar apabila pelbagai komoditi ditemui di dalam 83 kontena dan dua premis perniagaan bernilai RM114.35 juta termasuk duti dan cukai di sini antara April hingga Ogos 2026.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor, Noraidah Ishak berkata, menerusi tiga operasi, pihaknya merampas 135 juta batang rokok putih, minuman keras, tembakau, barang elektrik, dapur gas serta besi buruk dan sisa plastik.
“Rampasan barang elektrik dan dapur gas dilakukan menerusi Operasi Renjat 2026 dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST) dari 15 April hingga 15 Ogos.
“Manakala rampasan lain-lain komoditi pula dilakukan menerusi Operasi Sentinel Siri 1/2026 dan Operasi Demeter XII antara 1 hingga 31 Julai,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, menerusi Operasi Renjat 2026, hasil pemeriksaan menemukan 29,797 unit barang elektrik dan 3,831 dapur gas dipercayai diimport tanpa Perakuan Kelulusan daripada ST.
“Nilai rampasan dianggarkan RM2.61 juta manakala duti dan cukai sebanyak RM812,426 menjadikan jumlah keseluruhan RM3.42 juta.
“Dua modus operandi digunakan iaitu mengikrarkan jenis dagangan dengan betul tetapi gagal mengemukakan Perakuan Kelulusan serta membuat pengikraran tidak benar dalam Borang Kastam No. 1,” katanya.
Selain itu, katanya, menerusi Operasi Sentinel Siri 1/2026, JKDM Selangor menyerbu dua premis perniagaan di sekitar Lembah Klang selain memeriksa 15 kontena di Zon Bebas Pelabuhan Klang.

“Pemeriksaan menemukan 135 juta batang rokok putih, 14,488.54 liter minuman keras dan 5,672 kilogram (kg) tembakau dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai sebanyak RM105.31 juta.
“Modus operandi yang digunakan tidak mengikrarkan dagangan dalam manifes bagi kontena berstatus pemindahan serta membuat pengikraran tidak benar dengan mengisytiharkan barangan sebagai perabot dan pakaian bagi mengelak dikesan JKDM,” katanya.
Sementara itu Operasi Demeter XII pula mengesan dan merampas 38 kontena yang diperiksa di Zon Bebas Pelabuhan Klang antara 15 hingga 31 Julai lalu.
“Pemeriksaan menemukan 394,747 kg besi buruk dan 558,994.50 kg sisa plastik dipercayai tidak mempunyai permit import dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai berjumlah RM5.62 juta.

“Modus operandi digunakan ialah membuat pengimportan tidak benar dalam Borang Kastam No. 1 dengan mengisytiharkan dagangan sebagai enjin terpakai dan alat ganti, kepingan tembaga, aloi aluminium, kepingan ABS, plastik PS dan bahan PE bagi mengelak dikesan pihak JKDM,” katanya.
Ketiga-tiga kes terbabit masih dalam siasatan mengikut peruntukan Akta Kastam 1967.
“Secara keseluruhan, nilai komoditi yang dirampas dalam ketiga-tiga kes itu berjumlah RM19.93 juta manakala duti dan cukai sebanyak RM94.42 juta menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM114.35 juta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















