JOHOR BAHRU – Tujuh daripada lapan stesen pemantauan di Johor mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan bacaan antara 155 hingga 172 setakat pukul 8 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, Pasir Gudang merekodkan bacaan IPU paling tinggi iaitu 169 diikuti Larkin (165), Kota Tinggi (160) dan Pengerang (155).
“Selain itu di Batu Pahat (153), Tangkak (146) dan Kluang (135). Hanya di Segamat mencatatkan bacaan sederhana (99),” katanya ketika dihubungi.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.
Perkembangan tersebut menunjukkan keadaan tidak jauh beza dengan semalam yang mencatatkan semua stesen pemantauan di Johor merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat.
Tian Soon berkata, keadaan tersebut memerlukan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga terutama golongan yang lebih terdedah kepada kesan pencemaran udara.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti lasak di luar rumah, khususnya kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan atau kesihatan.

“Sekiranya perlu berada di luar, gunakan pelitup muka yang sesuai, minum air secukupnya dan kurangkan tempoh pendedahan kepada udara luar,” katanya.
Menurutnya, orang ramai juga perlu mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya mengalami gejala seperti sesak nafas, batuk berterusan atau ketidakselesaan pada mata dan tekak.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di sekitar bandar raya ini mendapati keadaan masih terkawal dan orang ramai masih menjalankan aktiviti seperti biasa.
Jarak penglihatan masih boleh dilihat dan tetapi tidak jelas pada jarak kira-kira 50 meter.- MalaysiaGazette















