Wee Ka Siong.

KUALA LUMPUR – Tiga mangsa insiden pelanggaran LRT Kelana Jaya yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur kini menunjukkan perkembangan yang baik.

Malah menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, kesemuanya berada dalam keadaan lebih stabil berbanding sebelum ini.

“Sejak semalam, saya telah berbincang dengan pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merawat tiga orang pesakit kritikal di ICU HKL.

“Pada pagi ini, sekali lagi Pasukan Perubatan HKL memaklumkan perkembangan terkini mengenai tiga orang pesakit tersebut. Syukur apabila dimaklumkan bahawa ketiga-ketiga pesakit menunjukkan progres yang baik dan keadaan lebih stabil berbanding sebelum ini,” katanya menerusi Facebook hari ini.

BACA: 3 penumpang LRT sangat kritikal, 61 dibenarkan keluar

Seorang mangsa wanita berumur 37 tahun telah menjalani pembedahan otak pada awal pagi 25 Mei lalu kini beransur pulih dan berada dalam pemantauan rapi oleh pakar perubatan.

Manakala seorang lagi mangsa lelaki berusia 52 tahun juga menunjukkan proses pemulihan yang memuaskan.

“Beliau akan menjalani pembedahan tulang belakang pada 31 Mei ini,” kata Ka Siong.

Jelasnya, kos perubatan mangsa berjumlah RM24,000 ditanggung sepenuhnya oleh Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana).

Sementara itu, keadaan seorang lagi mangsa wanita berusia 26 tahun juga dilaporkan bertambah baik dan akan menerima rawatan lanjut oleh pakar ENT dan Oftalmologi.

Dalam masa sama, Ka Siong turut berkomunikasi dengan keluarga ketiga-tiga mangsa itu dan mendoakan kesemuanya pulih sepenuhnya.

Dalam kejadian pukul 8.45 malam pada 24 Mei lalu, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah akibat pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya yang berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru.

Ia melibatkan satu tren membawa penumpang dengan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

LRT bertembung: 6 kritikal, 3 daripadanya guna alat bantuan pernafasan