Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. Foto AFFAN FAUZI, 12 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menetapkan 6 September depan bagi mendengar rayuan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Selain itu, Abdul Azeez juga berdepan dengan kes penggubahan wang haram bernilai RM144.5 juta.

Perkara itu disahkan oleh peguam yang mewakili Abdul Azeez, Joshua Tay ketika dihubungi media hari ini.

Kata Joshua, Timbalan Pendaftar, Mohd Khairi Haron menetapkan tarikh tersebut ketika pengurusan kes tersebut secara dalam talian hari ini manakala hujah bertulis perlu difailkan sebelum 20 Ogos.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan semua pertuduhan yang dihadapinya berhubung kes rasuah projek jalan raya di Perak dan Kedah serta pengubahan wang haram.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil membuat keputusan tersebut selepas mendapati kesemua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

Selain itu, kata beliau, alasan yang dikemukakan pemohon (Abdul Azeez) adalah defektik, mala fide dan bertentangan dengan polisi awam, selain bermotifkan politik dan tidak berasas.

Ahli Parlimen Baling itu menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai hampir RM140 juta.

Pertuduhan rasuah didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009, dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu, tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Abdul Azeez adalah cacat, tidak berasas dan dibuat dengan niat jahat atau mala fide.

Sebelum ini juga abang Abdul Azeez, Abdul Latif, yang pada mulanya dituduh bersubahat dengannya atas dua pertuduhan memperoleh rasuah RM4 juta, yang merupakan sebahagian daripada RM5.2 juta yang didakwa diterima, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan tersebut. – MalaysiaGazette