KUALA LUMPUR – Rasa lebih yakin untuk turun ke lapangan membuat liputan berita.
Itu antara reaksi petugas media selepas selesai menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Seroja, Putrajaya hari ini.
Proses vaksinasi yang dijalankan secara berperingkat itu membabitkan para petugas media dari pelbagai agensi sekitar Lembah Klang serta Putrajaya.
Bagi wartawan Sinar Harian, Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan, 34, dia berasa lega apabila selesai menerima dos pertama setelah sekian lama menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
“Pengalaman cucuk vaksin di PPV hari ini, semuanya amat sistematik dan penggiliran juga teratur dari peringkat permulaan sehingga lah selesai.
“Kita sebagai petugas media pun rasa lebih selamat berbanding sebelum ini kerana tugasan yang menuntut kami sentiasa berada di lapangan dan sudah tentu terdedah dengan pelbagai risiko jangkitan.
“Lagi pun ramai dalam kalangan media yang sudah dijangkiti ketika bertugas jadi pemberian vaksin ini memberi kelegaan selain rasa lebih yakin untuk terus menyampaikan berita kepada umum,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Sementara itu, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Ashraf Mazlan, 31, berkata, proses penerimaan vaksin dalam kalangan pengamal media berjalan lancar dengan dibantu para petugas kesihatan.
Ashraf juga mengakui tidak merasa sakit selepas menerima suntikan tersebut.
“Selepas terima vaksin, kami pengamal media akan merasa lebih yakin untuk turun ke lapangan mencari bahan berita dan membuat liputan. Saya juga turut berterima kasih kepada kementerian kerana telah mempermudahkan proses vaksinasi terhadap kumpulan media ini,” ujarnya.
Manakala Presiden Kelab Media Putrajaya, Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin berkata, pemberian vaksin Covid-19 bermula hari ini membawa kelegaaan kepada para petugas media terutamanya mereka yang bertugas di pusat pentadbiran kerajaan.
“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana mendengar rintihan serta prihatin terhadap kami sebagai pengamal media yang dikategorikan sebagai barisan hadapan untuk menerima vaksin kali ini walaupun perlu menunggu lama sejak Mac seperti dijanjikan sebelum dianjak kepada bulan Mei dan sekarang Jun.
“Setelah lama menunggu kami dapat juga terima vaksin hari ini, namun dalam masa sama saya berharap supaya kerajaan dapat mempercepatkan lagi pemberian vaksin kepada para media yang lain bagi memudahkan atau memberi kelegaan kepada kami yang sentiasa membuat liputan di lapangan.
“Kita tahu vaksin ini bukannya jaminan untuk kami tidak dijangkiti tetapi ia sebagai perlindungan sekiranya berlaku sebarang komplikasi yang lebih memudaratkan sekiranya kami terkena virus Covid-19 ini,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Zairul Azri juga berharap tiada kesan sampingan yang serius dihadapi oleh pengamal media selepas menerima suntikan dos pertama.
Terdahulu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, seramai 98 pengamal media telah mendapat vaksinasi di PPV Dewan Sri Seroja dan lebih ramai akan divaksin dalam masa terdekat.
Menurut Adham, jumlah tersebut akan bertambah dari masa ke semasa dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang mendapatkan senarai nama pengamal media dari Jabatan Penerangan ketika ini. – MalaysiaGazette