Enam pegawai dan kakitangan sebuah bank direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi melibatkan RM18 juta pada 2018 hingga 2020 ketika di Mahkamah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 09 JUN 2021.

SHAH ALAM – Enam pegawai dan kakitangan sebuah bank direman selama tujuh hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi, membabitkan 110 transaksi berjumlah kira-kira RM18 juta.

Majistret Raja Nor Adilla Mahyaldin memberikan kelulusan itu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret Shah Alam. 

Kesemua pegawai dan kakitangan bank itu yang ditahan sejak semalam di Pejabat SPRM Selangor tiba di Mahkamah Shah Alam pada jam 10.55 pagi.

Kesemua suspek memakai baju lokap SPRM dan bergari.

Proses permohonan reman selesai pada jam 12.16 tengah hari.

Keenam-enam pegawai dan kakitangan sebuah bank itu ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi, membabitkan 110 transaksi berjumlah kira-kira RM18 juta.

Mereka dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan antara 15 hingga 35 peratus daripada 110 pembiayaan pinjaman peribadi berkenaan.

Suspek yang berusia antara 36 hingga 45 tahun itu merupakan pegawai dan kakitangan bank yang bertugas di beberapa cawangan di sekitar Lembah Klang.

SPRM dilaporkan telah merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM69,000 dan beberapa jam tangan mewah serta telefon bimbit daripada suspek dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah lebih RM100,000. – MalaysiaGazette