Seorang calon SPM 2020, Raihana Mohamad Nor menunjukkan keputusan 8A, 2B diperolehnya di Klang hari ini.

KUALA LUMPUR – Calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang mendapat keputusan hari ini menyifatkan Covid-19 bukan penghalang kepada mereka untuk mencipta kejayaan dalam pendidikan.

Sebaliknya, rata-rata menyifatkan ia sebagai satu cabaran baharu yang perlu dilalui tanpa menjadikan ia sebagai alasan untuk tidak berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran.

Seorang calon SPM, Raihana Mohamad Nor, 18, yang mendapat keputusan 8A, 2B  itu ‘menghadiahkan’ kejayaan itu untuk kedua ibu bapanya.

Walaupun pelajar Sekolah Menengah Methodist Girl School Klang  agak kecewa kerana tidak dapat keseluruhan A dalam semua subjek yang diambil tetapi lega kerana usahanya selama ini membuahkan juga hasil demi membina masa depan.

“Alhamdulillah, keputusan ini akan memberikan semangat untuk saya terus berusaha lagi pada masa akan datang.

“Sejujurnya saya tidak menjadikan pandemik ini sebagai alasan untuk tidak gigih dalam pelajaran dan usaha berterusan sangat penting walau dalam apa jua keadaan sekalipun,” ujarnya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pelajar SPM, Siti Nur Balqis Mohamad, 18, pula berkata, Covid-19 merupakan ujian yang perlu ditempuh oleh semua orang termasuk dirinya sebagai seorang pelajar.

Siti Nur Balqis Mohamad.

Katanya, banyak perkara dilakukan untuk memastikan dirinya mampu mencapai keputusan baik dalam peperiksaan itu sekaligus menunaikan hasratnya untuk meneruskan pelajaran hingga ke menara gading.

Jelasnya, meskipun berdepan detik sukar untuk memahami sesuatu subjek tanpa guru berada di sisi, beliau sanggup mencari guru tuisyen berbayar bagi merealisasikan impiannya menjadi pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Seremban di Negeri Sembilan.

“Kalau di sekolah kita boleh bertanya dengan guru atau pun kawan-kawan jika tak faham sesuatu mata pelajaran terutama yang sukar.

“Tapi bila belajar secara online ini, saya kena fokus betul-betul supaya tidak tertinggal dengan kawan-kawan yang lain,” tambahnya yang memperoleh keputusan 7A, 1C dalam SPM yang diumumkan hari ini.

Sementara itu, bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Indera Wangsa Ahmad, Batu Gajah, Perak, Nur Izzah Suhana Hanafi, 18, mengakui memang sukar untuk belajar dalam keadaan norma baharu kerana pembelajaran tidak dapat dilakukan secara berdepan dengan guru.

Nur Izzah Suhana Hanafi menunjukkan keputusan SPM yang diperolehi secara online hari ini.

Katanya, jika sebelum ini mata pelajaran yang kurang difahami dapat dijelaskan menerusi sesi pengajaran di dalam kelas namun, persediaannya untuk berdepan dengan SPM tahun lalu agak terganggu kerana terdapat beberapa mata pelajaran yang tidak dapat difahami secara jelas.

“Bagaimanapun saya tetap bersyukur dengan keputusan yang diperoleh kerana telahpun berusaha keras untuk mencapai kejayaan ini.

“Saya tidak akan menoleh kebelakang dan akan terus berusaha bagi mencapai kemerlangan dalam pelajaran untuk masa depan,” katanya yang mendapat 6A, 2B dan 1C ketika dihubungi hari ini.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SPM 2020 catat pencapaian lebih baik dalam tempoh 5 tahun – Radzi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast