LONDON – Tottenham Hotspur terus menemui jalan buntu dalam mencari pengganti Jose Mourinho untuk jawatan pengurus pasukan bagi menghadapi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2021/22.
Selepas Mourinho ditunjuk jalan keluar di White Hart Lane pada 19 April lalu, Spurs masih bergelut untuk mencari calon yang sesuai mengisi kekosongan jawatan itu.
Selepas usaha memujuk bekas Pengurus Inter Milan, Antonio Conte menemui kegagalan, Spurs kini beralih kepada Fonseca untuk mengisi kekosongan Jose Mourinho.
Laporan terkini di London mendakwa Spurs masih belum mencapai sebarang perjanjian menerusi perbincangan dengan Fonseca.
Fonseca menunjukkan kepimpinan terbaik bersama pasukan Roma tetapi dipecat selepas pasukan itu sekadar menamatkan saingan Serie A Itali di tempat ketujuh musim lalu.
Fonseca menggantikan Claudio Ranieri di Roma selepas tiga tahun bersama Shakhtar Donetsk di Ukraine.
Fonseca juga berpengalaman mengemudi kelab FC Porto dan Braga di negara kelahirannya Portugal.
Sepanjang kariernya di Ukraine dan Portugal dia berjaya menjulang gelaran liga di kedua-dua negara itu antara 2013 hingga 2019.
Dalam perkembangan sama, Tottenham juga sudah melantik Fabio Paratici sebagai Pengarah Sukan selepas 11 tahun bersama Juventus.-MalaysiaGazette