KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan pelajar-pelajar yang tidak menerima keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti diharapjan jangan sesekali berputus asa.
Ini kerana, kata perdana menteri, keputusan yang diperoleh pada hari ini bukan penamat.
”Perjalanan dan perjuangan hidup anda baru bermula. Banyak lagi ilmu serta bidang yang belum diteroka dan juga pengalaman yang belum ditempuh.
”Jadikan keputusan yang diterima hari ini sebagai penyuntik semangat untuk anda terus berusaha bagi memastikan kehidupan serta masa depan yang terjamin,” katanya.
Kepada pelajar yang berjaya mendapat keputusan cemerlang, Muhyiddin mengucapkan syabas dan tahniah.
Muhyiddin turut melahirkna rasa bangga kerana setiap daripada pelajar SPM 2020 adalah individu yang hebat memandangkan peperiksaan kali ini amat jauh berbeza cabarannya berbanding tahun-tahun sudah dalam situasi negara dan dunia bergelut dengan pandemik Covid-19.
”Anda semua diuji dengan cabaran yang getir namun berbekalkan semangat serta keazaman tinggi dengan sokongan semua pihak, cabaran itu berjaya anda harungi,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada ibu bapa dan guru-guru yang telah berhempas-pulas berusaha membantu pelajar mengharungi peperiksaan SPM dalam masa yang amat mencabar ini.
Usaha berlipat ganda ibu bapa dan guru-guru sudah pun dilakukan menerusi proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang penuh mencabar dalam suasana norma baharu, katanya. – MalaysiaGazette