Warga emas hadir bersama keluarga pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Dewan Orang Ramai Kampung Ampang Indah, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 12 JUN 2021.

AMPANG – Seramai 177 individu di Parlimen Ampang dikenal pasti masih gagal menghadirkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 meskipun mereka sebelum ini telah mendapat tarikh temujanji menerusi aplikasi MySejahtera.

Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kebanyakan mereka merupakan individu yang tidak memberi respons melalui MySejahtera, gagal hadir untuk dos pertama dan kedua.

“Kita buat kajian rintis selama satu minggu, sejak Selasa lalu hingga ke hari ini, ada sejumlah 177 individu yang nama dia kita telah kumpulkan terdiri daripada tiga kategori.

“Mereka ini adalah orang yang dalam MySejahtera sudah ada tarikh tapi dia tidak respon atau jawab, kedua orang yang tak datang dos pertama dan dos kedua,” katanya kepada pemberita di Dewan MPAJ Kg Pandah Indah, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja koordinasi sukarelawan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di situ.

Menurut Zuraida, kesemua 177 individu itu dikesan menerusi pusat panggilan yang diwujudkan badan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara (PKN) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Pejabat Kesihatan Hulu Langat.

“Selama ini tiada petugas khas untuk membuat panggilan kepada penerima-penerima vaksin yang tidak datang dan tidak jawab untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Jadi kita wujudkan pusat panggilan yang bertugas sejak Selasa lalu dan setakat ini seramai tujuh orang operator telefon telah ditugaskan untuk menghubungi semua 177 penerima vaksin yang gagal hadir menerima suntikan sebelum ini,” katanya.

Selain membuat temujanji baharu, pihaknya turut menyediakan pengangkutan bagi memudahkan orang ramai khususnya warga emas dan orang kurang upaya (OKU) bagi mendapatkan vaksin.

“Kalau tak ada pengangkutan kita juga siapkan unit pengangkutan untuk mengambil mereka dari rumah masing-masing untuk bawa mereka ke PPV.

“Pasukan ini akan turun rumah ke rumah untuk memastikan mereka berdaftar dan keluar mendapatkan vaksin,” jelasnya.

Sementara itu, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mewujudkan klinik bergerak bagi memastikan orang ramai mendapat imunisasi itu khususnya di kawasan kampung di luar bandar.

“Kita juga bekerjasama dengan NGO MAPIM menjalankan Klinik Bergerak iaitu bas bergerak bersama Pejabat Kesihatan Daerah, kini sudah ada unit untuk bergerak ke tempat-tempat rumah orang tua, OKU dan warga emas,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya akan meminta Kementerian Kesihatan Malaysia KKM) untuk membenarkan mereka turun ke kawasan kepadatan tinggi seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perkampungan kerana mereka mungkin jauh untuk datang PPV.

“Kita turun padang, kita menetap di situ dan mereka akan datang ke klinik bergerak kita untuk mendapatkan vaksinasi mereka. Model ini juga kita akan laksanakan di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Pahang.

“Kita menyediakan lima klinik bergerak untuk turun padang khususnya di kawasan kampung,” katanya.

Ditanya tentang alasan paling popular diberikan oleh individu yang tidak menghadiri temujanji vaksinasi, Zuraida berkata, timbul keraguan sama ada suntikan membatalkan puasa atau sebaliknya pada Ramadan lalu.

“Ketika bulan Ramadan ramai ragu nak datang, ragu boleh puasa ke tidak, kalau bulan puasa suntikan nanti pengsan, boleh batal

“Keraguan ini menyebabkan ramai ramai yang tak hadir untuk ambil suntikan. Mungkin pendaftaran itu dilakukan oleh anak-anak dan ibu bapa tidak perasan untuk tengok MySejahtera.

“Jadi ini yang kita wujudkan sistem sokongan ini untuk memastikan mereka yang telah dapat dapat tarikh, susah daftar, kita pastikan mereka dapat maklumat dan kita akan uruskan mereka datang untuk mendapatkan suntikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast