Soffian (tengah) ketika melakukan operasi kegiatan pelombongan Bitcoin di Jalan Delima, Gelugor di sini.

GEORGE TOWN – Aduan seorang pemilik premis terasa bahang panas serta bunyi bising di Jalan Perak di sini membawa kepada pembongkaran kegiatan melombong mata wang digital, Bitcoin.

Bertindak atas maklumat pihak polis menyerbu premis pertama di Jalan Perak sebelum membawa kepada penemuan dua lagi premis di Jalan Van Praagh dan Jalan Delima, Gelugor di sini malam tadi.

Dalam serbuan bermula jam 12.30 tengah hari hingga 8 malam tadi, pihak polis turut menahan empat lelaki berusia 20 hingga 35 tahun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam ketiga-tiga serbuan itu pihaknya merampas 200 mesin bitcoin bernilai RM80,000.

Soffian Santong.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati sindiket itu sudah beroperasi beberapa bulan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian kira-kira RM100,000 sebulan akibat aktiviti curi elektrik untuk kegunaan perlombongan bitcoin membabitkan tiga buah premis.

“Hasil soal siasat ke atas empat suspek yang ditahan itu mengaku mereka merupakan pekerja penyelenggaraan mesin tersebut dan setiap seorang mereka menerima bayaran gaji RM3,000 sebulan.

“Salah seorang suspek mendakwa baru dua bekerja dan ketika dia mula bekerja semua mesin tersebut sudah berada di premis itu. Jadi kita percaya sindiket ini telah beroperasi lebih dari dua bulan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan di Jalan Delima, Gelugor malam tadi.

Antara suspek yang ditahan polis.

Menurut Soffian, tangkapan ini merupakan serbuan pertama kegiatan melombong mata wang digital, Bitcoin di daerah Timur Laut bagi tahun ini.

“Pihak polis masih mengesan dalang utama sindiket tersebut selain menjalankan siasatan di beberapa lokasi lain yang dipercayai dijadikan pusat melombong Bitcoin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast