Datuk Zuraida Kamaruddin.

AMPANG – Cadangan untuk memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada calon peperiksaan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) 2021 kini di peringkat perbincangan Kabinet.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin mengakui perkara itu sambil menegaskan kerajaan perlu memberi keutamaan vaksinasi itu kepada petugas barisan hadapan.

“Saya rasa perkara ini dalam perbincangan kerana kita juga banyak fasa lain yang kita belum lagi (selesai).

“Kita punya barisan hadapan pun tak habis lagi, ramai lagi tak keluar jadi kita kena utamakan seperti dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Ya ada kemungkinan bincangkan,” katanya kepada pemberita di Dewan MPAJ Kg Ampang Indah, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru), Mohd Azizee Hasan menggesa calon SPM 2021 wajar dipertimbang untuk disuntik vaksin Covid-19, bagi membolehkan mereka menghadiri kelas bersemuka.

Selain itu, guru yang mengajar Tingkatan 5 juga wajib divaksin secepat mungkin bagi membolehkan mereka hadir ke sekolah dan membantu calon SPM tahun ini.

Pada 6 Jun lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, mengumumkan calon SPM 2021 akan menduduki peperiksaan itu tahun hadapan.

Ujian lisan dan amali Sains akan dilaksanakan pada Februari 2022, manakala peperiksaan bertulis akan bermula Mac 2022. – MalaysiaGazette