Suspek yang didakwa membelasah isterinya sudah direman enam hari.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang disyaki terlibat memukul isterinya sehingga parah direman selama enam hari mulai hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain  mengesahkan tangkapan ke atas suspek.

Beliau yang dihubungi Malaysia Gazette berkata, peniaga pakaian itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya, seorang kakitangan kerajaan dalam kejadian 4 Mei lalu.

“Suspek ditahan semalam kira-kira pukul 11 pagi di tepi jalan kawasan Taman Bukit Angsana, Kuala Lumpur.

“Suspek direman selama enam hari bermula 12 Jun hingga 17 Jun 2021 bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd. Padzli berkata, jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu media  melaporkan, seorang kakitangan awam sebuah jabatan kerajaan di negeri Johor bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini selepas dipercayai dibelasah suaminya sendiri.

Mangsa berusia 43 tahun yang sedang hamil empat minggu ketika kejadian, dilaporkan dalam kritikal kerana mengalami kecederaan parah.

Tengkorak kepala mangsa terpaksa dibuang akibat pendarahan, selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah pangsapuri di Larkin di sini.

Selepas kejadian tersebut, mangsa melarikan diri hingga polis giat mengesan suspek yang berusia 38 tahun itu termasuk menerusi risikan yang dilakukan.

Pada 18 Mei lalu, polis mengedarkan gambar suspek bagi memudahkan orang ramai memberi maklumat lokasi keberadaan suspek selepas keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan. – Malaysiagazette